Dakwaan PM Tangguh Laporan Pegangan Saham Azam Baki Tak Benar - Sumber

LocalPolitics
31 Mar 2026 • 8:38 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mengarahkan laporan berkaitan pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki disembunyikan daripada umum.

Sumber berkata, Anwar sebaliknya menggesa penubuhan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan berkenaan.

Sekiranya benar terdapat penangguhan itu katanya, ia dibuat atas alasan kukuh termasuk keperluan melengkapkan keseluruhan siasatan sebelum sebarang maklumat didedahkan kepada umum.

“Perdana Menteri mahu siasatan menyeluruh terhadap isu ini dan perkara lain berkaitan SPRM diselesaikan terlebih dahulu. 

“Pendedahan maklumat secara berperingkat boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan keyakinan terhadap pasaran kewangan negara,” katanya.

Jelas sumber, kerajaan ketika ini turut berdepan cabaran luaran termasuk konflik berterusan di Asia Barat, justeru keutamaan diberikan kepada kestabilan ekonomi dan perlindungan kepentingan rakyat.

Terdahulu Bloomberg melaporkan, Anwar didakwa bimbang pendedahan berkebaan menjejaskan persepsi terhadap kerajaan menjelang pilihan raya umum yang bakal berlangsung dalam masa terdekat.

Bagaimanapun tegas sumber, ia sama sekali tidak berkaitan pilihan raya, sebaliknya melibatkan kepentingan persepsi nasional serta keyakinan pelabur.

“Ini bukan soal pilihan raya, tetapi persepsi negara. Perdana Menteri tidak mahu laporan yang belum lengkap didedahkan pada waktu kritikal,” katanya.

Jawatankuasa Siasatan Khas yang ditubuhkan bagi meneliti isu terbabit dipengerusikan Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar dan dibarisi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

“Tiada perkara yang cuba disembunyikan dan laporan penuh akan didedahkan kepada umum selepas semua aspek siasatan dimuktamadkan,” tegas sumber lagi. 

Dalam perkembangan berkaitan, Azam dilaporkan berdepan tekanan berhubung dakwaan pegangan saham yang melebihi had dibenarkan penjawat awam, selain spekulasi mengenai kemungkinan pelantikannya sebagai senator, yang memerlukan perakuan Perdana Menteri sebelum diperkenan Yang di-Pertuan Agong. - Getaran, 31 Mac 2026