
RIYADH – Kota suci Mekah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga apabila Arab Saudi mengaktifkan amaran kecemasan susulan ancaman keselamatan ketika serangan dron dan peluru berpandu kumpulan Houthi dari Yemen semakin meningkat.
Amaran yang dikeluarkan pada Selasa menerusi Platform Amaran Awal Kebangsaan bagi Kecemasan itu merupakan yang pertama di Mekah sejak tercetusnya peningkatan terbaharu konflik antara Arab Saudi dan Houthi.
Menurut Pertahanan Awam Arab Saudi, amaran berkenaan memaklumkan mengenai “potensi bahaya” tanpa memperincikan bentuk ancaman yang dihadapi.
Penduduk dan pengunjung diarahkan segera berlindung di dalam bangunan, menjauhi kawasan terbuka, tingkap, balkoni dan bumbung serta mengelakkan perhimpunan sehingga keadaan kembali selamat.
Bagaimanapun, amaran itu ditarik balik tidak lama kemudian selepas pihak berkuasa mengesahkan ancaman telah berlalu. Amaran sama turut dikeluarkan di Jeddah dan Taif.
Perkembangan itu berlaku ketika serangan Houthi terhadap beberapa lokasi di Arab Saudi semakin meningkat. Serangan peluru berpandu dan dron ke atas Khamis Mushait, Abha dan Taif pada Isnin menyebabkan 13 orang awam cedera selain merosakkan tujuh rumah dan dua kenderaan.
Ketegangan turut berterusan apabila Arab Saudi pada Selasa memintas dan memusnahkan sebuah dron Houthi di selatan Mekah sebelum ia memasuki ruang udara larangan kota suci berkenaan.
Jurucakap pakatan diketuai Arab Saudi, Turki al-Malki menegaskan keselamatan Mekah adalah satu “garis merah”, manakala Houthi menafikan mereka menyasarkan Mekah atau lokasi keagamaan.
The post Ancaman Houthi memuncak, Mekah aktif amaran kecemasan buat kali pertama appeared first on MYBERITA.




