Ancaman personaliti ‘Dark Triad’ dalam perkhidmatan awam yang menjadikan pegawai bawahan mangsa

LocalOpinion
9 Sep 2026 • 8:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ancaman personaliti ‘Dark Triad’ dalam perkhidmatan awam yang menjadikan pegawai bawahan mangsa Image from: Ancaman personaliti ‘Dark Triad’ dalam perkhidmatan awam yang menjadikan pegawai bawahan mangsa johardy09/09/2026 - 08:00 Oleh Ts. Mohd Rafizi bin Rahmad dan Prof. Madya Dr. Ahmad Ihsan Mohd Yassin suratpembaca@dagangnews.com

Salah guna kuasa, politik pejabat, buli dan manipulasi dalam organisasi bukan fenomena baharu. Pelbagai sistem kawalan, prosedur dan mekanisme integriti telah diwujudkan sejak sekian lama, namun masalah yang sama masih berlaku dalam pelbagai bentuk.

 

Apabila membicarakan isu kecekapan dan integriti perkhidmatan awam di Malaysia, tumpuan kebiasaannya terarah kepada kelemahan sistem, kerenah birokrasi atau salah guna kuasa secara terbuka.

 

Namun, terdapat satu ancaman tersembunyi yang jarang didedahkan tetapi berupaya merobek keharmonian organisasi dari dalam, iaitu kehadiran individu yang mempunyai ciri personaliti Dark Triad.

 

Persoalannya, adakah masalah di tempat kerja semata-mata berpunca daripada kelemahan sistem atau kita juga perlu melihat personaliti individu yang diberikan kuasa?

 

Bayangkan seorang pegawai yang sudah bertahun-tahun berkhidmat akhirnya memilih untuk berhenti atau memohon pertukaran bukan kerana tidak mampu melakukan kerja, tetapi kerana tidak lagi tahan diperlakukan secara kasar oleh pegawai atasannya.

 

Dia mungkin dimarahi di hadapan rakan sekerja, dipermalukan dalam mesyuarat atau sentiasa dipersalahkan apabila berlaku kesilapan.

 

Situasi seperti ini menunjukkan bahawa masalah organisasi bukan semata-mata mengenai sistem dan prosedur, tetapi juga bagaimana seseorang menggunakan kedudukan dan kuasanya terhadap orang lain.

 

Memahami ‘Dark Triad’

Dalam domain psikologi moden, konsep yang diperkenalkan oleh Delroy Paulhus dan Kevin Williams pada tahun 2002 ini merujuk kepada perhimpunan tiga sifat personaliti subklinikal yang berisiko tinggi, iaitu Machiavellianism yang berpandukan prinsip matlamat menghalalkan cara; Narcissism, sifat ego melampau, dahagakan pujian dan pengiktirafan serta ketidakupayaan menerima kritikan dan teguran; dan Psychopathy, yang bersifat mengeksploitasi, manipulatif, mementingkan diri tanpa rasa bersalah (no conscience).

 

 

solar

Dark Triad bukan bermaksud terdapat satu kumpulan yang terdiri daripada tiga jenis individu. Istilah “triad” merujuk kepada tiga ciri personaliti tersebut yang boleh wujud pada seseorang pada tahap yang berbeza-beza.

 

Berbeza dengan gangguan mental klinikal, individu ini wujud dalam spektrum normal, berpendidikan tinggi dan sering kelihatan mempesonakan pada peringkat awal sebelum sifat sebenar mereka mula merosakkan ekosistem kerja.

 

Dalam konteks perkhidmatan awam yang dibina atas prinsip integriti, nilai kesepakatan dan penyampaian perkhidmatan untuk rakyat, kehadiran personaliti toksik ini membawa impak yang amat merosakkan.

 

Individu berciri Machiavellianism kerap menggunakan taktik adu domba dan politik pejabat demi mengejar kenaikan pangkat, di mana rakan sekerja dipandang semata-mata sebagai batu loncatan.

 

Manakala individu berpaksi Narcissism pula sentiasa dahagakan pengiktirafan dan cepat bertindak agresif apabila ditegur, sekali gus mewujudkan budaya kerja yang kaku kerana warga kerja lain mula takut untuk bersuara.

 

Ancaman paling kritikal berpunca daripada ciri Psychopathy kerana pegawai terbabit tidak teragak-agak melanggar prosedur, menyalahgunakan kuasa serta mengamalkan budaya buli psikologi terhadap subordinat tanpa sebarang rasa penyesalan atau pertimbangan terhadap orang lain.

 

Apabila pegawai bawahan takut bersuara

Kesan kehadiran sifat terlarang ini bukan sekadar menyebabkan perselisihan faham biasa di pejabat, malah menjejaskan keseluruhan struktur organisasi dan menurunkan daya pengeluaran.

 

Sebagai contoh, seorang pegawai bawahan mungkin mempunyai idea yang baik tetapi akhirnya memilih untuk berdiam diri kerana setiap kali memberikan pandangan yang berbeza, dia dianggap mencabar ketua. Lama-kelamaan, warga kerja lain juga mungkin memilih untuk tidak bersuara kerana bimbang menerima layanan yang sama.

 

Moral pekerja berintegriti akan merosot apabila melihat individu manipulatif diberi ganjaran manakala usaha rakan sekerja lain dieksploitasi.

 

Tekanan emosi yang berpanjangan ini akhirnya mengakibatkan kejatuhan prestasi kerja, peningkatan cuti sakit dan pemberhentian pegawai yang berpotensi.

 

Lebih membimbangkan, apabila keputusan rasmi organisasi mula dipengaruhi oleh agenda peribadi individu yang berciri manipulatif ini, dasar yang digubal berisiko berat sebelah dan akhirnya gagal mencapai matlamat kebajikan rakyat.

 

KPI bukan satu-satunya ukuran

Memandangkan sifat ini tertanam dalam struktur personaliti dan bukannya penyakit yang boleh disembuhkan dengan kaunseling atau ubat, perkhidmatan awam perlu mengambil langkah proaktif untuk melindungi persekitaran kerja.

 

Proses penilaian kenaikan pangkat tidak harus bersandar kepada pencapaian angka atau petunjuk prestasi utama (KPI) individu semata-mata, sebaliknya ujian psikometrik integriti dan penilaian secara menyeluruh daripada rakan setaraf serta pegawai bawahan perlu diperkasa.

 

Ini penting kerana seseorang pegawai mungkin kelihatan cemerlang berdasarkan KPI, tetapi penilaian angka semata-mata mungkin tidak menggambarkan bagaimana dia melayan pegawai bawahan dan rakan sekerjanya.

 

Pada masa yang sama, saluran aduan yang selamat dan berkesan wajib disediakan agar amalan buli dan eksploitasi dapat dilaporkan tanpa rasa takut.

 

Organisasi juga perlu memupuk kepimpinan berasaskan nilai kebaikan dan rasa hormat sesama rakan sekerja bagi mewujudkan persekitaran kerja yang selamat.

 

Bagi warga kerja yang terpaksa berhadapan dengan rakan sekerja berciri toksik ini, langkah terbaik adalah dengan mengekalkan profesionalisme secara berfakta dan mendokumenkan setiap urusan kerja melalui e-mel atau hitam putih.

 

Kebajikan rakyat dan kemajuan bangsa amat bergantung kepada kesihatan persekitaran kerja para penjawat awamnya, maka sudah sampai masanya kita tidak lagi memandang remeh aspek dinamik psikologi ini.

 

Dengan mengenali taktik manipulasi dan memperkukuh amalan nilai murni, kita bukan sahaja dapat mempertahankan integriti perkhidmatan awam, malah memastikan persekitaran kerja kekal kondusif, adil dan berorientasikan kesejahteraan bersama. - DagangNews.com

 

Pandangan yang dikemukakan dalam artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Sidang Editorial DagangNews.com:

TS. MOHD RAFIZI BIN RAHMAD, CHRM, MMIHRM merupakan Ketua Timbalan Pendaftar | Pengarah, Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) merangkap Naib Presiden 1, Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM).
PROF. MADYA DR. AHMAD IHSAN MOHD YASSIN merupakan Felo Universiti Teknologi MARA (Kepintaran Buatan), Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI), Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Parafrasa Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved