Salah besar ke minum air dalam tren?

LocalOpinion
20 Aug 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Salah besar ke minum air dalam tren?

Bulan ini banyak betul di media sosial Threads orang ramai tularkan gambar orang lain dalam perkhidmatan awam tren.

Perbuatan itu dilakukan hanya kerana mahu mendapatkan perhatian, mengundang komen atau menjadikan sesuatu kejadian sebagai bahan tular.

Antara yang sering menjadi sasaran ialah penumpang pengangkutan awam yang sedang minum di dalam tren.

Gambar dirakam secara diam-diam, kemudian disertakan kapsyen yang seolah-olah mahu menghakimi individu terbabit. Dalam sekelip mata, orang yang tidak dikenali itu boleh menjadi bahan kecaman ribuan pengguna media sosial.

Persoalannya, sejak bila kita mempunyai hak untuk mengambil gambar orang lain sesuka hati dan menyebarkannya kepada umum? Berada di tempat awam tidak bermakna seseorang itu hilang semua hak untuk dihormati.

Apatah lagi jika gambar tersebut digunakan untuk memalukan atau menjatuhkan maruahnya.

Jika benar seseorang melanggar peraturan pengendali tren, tindakan paling wajar adalah membuat teguran secara berhemah atau melaporkannya kepada petugas.

Tidak perlu mengeluarkan telefon, merakam secara sembunyi-sembunyi dan kemudian menjadikan individu terbabit sebagai ‘pesalah media sosial’.

Lebih membimbangkan apabila budaya ini seolah-olah sudah menjadi hiburan. Ada yang berlumba-lumba menjadi orang pertama memuat naik gambar, kemudian menunggu pengguna lain memberikan kecaman.

Dari sudut undang-undang pula, pengguna media sosial tidak boleh menganggap dunia media sosial sebagai ruang bebas tanpa batas.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan kesalahan berkaitan penggunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian untuk komunikasi yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau menyinggung dengan niat mengganggu, menyalahgunakan, mengugut atau menganiaya orang lain.

Di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan pula, merakam atau menyebarkan imej seseorang tanpa izin yang berniat untuk mengaibkan atau mengganggu kehormatan seseorang individu merupakan suatu kesalahan jenayah.

Sebab itu pengguna jangan terlalu mudah membuat kesimpulan bahawa apa sahaja yang dirakam boleh ditularkan sesuka hati.

Perkara yang perlu difahami ialah mengambil gambar dan menyebarkannya adalah dua tindakan yang berbeza. Apabila gambar seseorang disertakan dengan tuduhan, penghinaan atau kandungan yang bertujuan memalukan, risikonya menjadi lebih serius.

Kita tidak tahu sama ada tindakan itu boleh membuka ruang kepada tindakan undang-undang lain berdasarkan keadaan kes.

Lebih mengecewakan apabila ada pihak yang didakwa sengaja mencari bahan tular kerana mahu meningkatkan capaian akaun dan mendapatkan keuntungan lain pula di media sosial.

Nota kaki: Bila lah LRT kita hendak lancar seperti tahun lepas ketika pergi dan balik kerja.

The post Salah besar ke minum air dalam tren? appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved