
PUTRAJAYA: Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) bukan mekanisme untuk menghukum pegawai pengurusan tertinggi perkhidmatan awam, sebaliknya bertujuan menambah baik kepimpinan mereka.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pencapaian DEEP bagi suku kedua tahun ini telah dianalisis dan sebarang kelemahan yang dikenal pasti perlu diperbaiki selaras matlamat sistem berkenaan sebagai sebahagian daripada agenda reformasi perkhidmatan awam.
“DEEP ini bukanlah untuk menghukum, tapi DEEP ini untuk menambah baik kepimpinan penjawat awam, pengurusan tertinggi penjawat awam.
“Jadi itu perlu dibetulkanlah sebab DEEP ini adalah salah satu daripada mekanisme reformasi perkhidmatan awam. Jadi ia digunakan untuk menambah baik perkhidmatan dan bukan untuk menghukum,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Seminar AI Sektor Awam 2026 dan Penyampaian Anugerah Public Sector AI Nexus Challenge 2026 di sini semalam.
Ditanya sama ada pegawai yang tidak mencapai merit ditetapkan berkemungkinan dikenakan tindakan seperti penurunan pangkat, beliau sekali lagi menjelaskan bahawa sistem berkenaan bukan bersifat untuk menghukum.
“Sebab saya dah cakap tadi bukan untuk menghukum, tapi menambah baik,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta meneliti semula wajaran penilaian menerusi penggunaan DEEP bagi jawatan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian bertujuan memastikan sistem penilaian prestasi pegawai pengurusan tertinggi perkhidmatan awam kekal holistik, relevan dan mencerminkan dinamika cabaran pentadbiran semasa. – UTUSAN
The post DEEP bukan untuk menghukum penjawat awam – KSN appeared first on Utusan Malaysia.






