Ancaman sekatan Trump terhadap pusat data AS boleh jejas tempahan kontraktor Malaysia – RHB Research

LocalBusiness & Finance
23 Nov 2026 • 10:07 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ancaman sekatan Trump terhadap pusat data AS boleh jejas tempahan kontraktor Malaysia – RHB Research Image from: Ancaman sekatan Trump terhadap pusat data AS boleh jejas tempahan kontraktor Malaysia – RHB Research liza23/11/2026 - 10:07 Antara pusat data yang dibangunkan di Johor. (Gambar hiasan/ FB Datuk Onn Hafiz Ghazi) Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov – Cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menyekat syarikat teknologi negara itu daripada membina pusat data (DC) di luar negara boleh menjejaskan pemberian kontrak baharu kepada kontraktor pembinaan Malaysia sekiranya dasar berkenaan dilaksanakan.

 

RHB Research berkata, ketidaktentuan mengenai pelaksanaan cadangan itu boleh mendorong pemaju pusat data mengambil pendekatan tunggu dan lihat yang akan memperlahankan pemberian kontrak kepada syarikat pembinaan tempatan sehingga terdapat kejelasan mengenai sekatan berkenaan.

 

Menurut firma penyelidikan itu, Trump pada Jumaat lalu menyatakan hasrat untuk mengenakan sekatan terhadap syarikat AS yang membina pusat data di negara lain, selain mengancam mengenakan penalti cukai yang sangat tinggi sekiranya mereka berbuat demikian.

 

“Cadangan itu muncul ketika pembangunan pusat data menjadi antara isu utama pada pilihan raya pertengahan penggal AS pada November, dengan beberapa calon Parti Demokrat turut menjanjikan kawal selia lebih ketat terhadap pembinaan pusat data di negara itu,” kata RHB Researh dalam nota kajiannya.

 

Pemberian kontrak mungkin perlahan

RHB Research berkata, walaupun kaedah pelaksanaan sekatan terhadap pembinaan pusat data di luar AS masih belum jelas, ia boleh mencetuskan semula kebimbangan terhadap pemberian kontrak pusat data di Malaysia sekiranya dasar itu menjadi kenyataan.

 

Firma penyelidikan itu turut mengimbas pengalaman pada Januari 2025 apabila cadangan peraturan AS berkaitan penyebaran teknologi kecerdasan buatan (AI) menyebabkan pemberian kontrak pusat data di Malaysia mengalami kelewatan sekitar empat hingga enam bulan.

 

Keadaan ketika itu berlaku apabila pemaju pusat data mengambil pendekatan tunggu dan lihat sementara menilai implikasi peraturan berkenaan sebelum meneruskan keputusan pelaburan.

 

RHB Research berpandangan situasi sama boleh berulang sekiranya cadangan terbaharu Trump menimbulkan ketidakpastian terhadap rancangan pengembangan pusat data syarikat teknologi AS di luar negara.

 

Pemaju bukan AS mungkin raih peluang

Bagaimanapun, sekatan itu juga boleh membuka ruang kepada pemaju pusat data tempatan dan bukan AS untuk memainkan peranan lebih besar dalam menyediakan kapasiti pusat data kepada syarikat teknologi AS yang tidak lagi dapat membangunkan kemudahan sendiri di luar negara.

 

Antara pemaju yang berpotensi memainkan peranan itu termasuk EXSIM, AIMS Group, Open DC dan YTL Data Centers, selain pengendali bukan AS seperti NEXTDC dan AirTrunk.

 

Menurut RHB Research, AIMS Group sebelum ini telah memberikan kontrak pembinaan kepada kontraktor seperti Binastra dan Gamuda, manakala EXSIM turut memberikan kontrak kepada Binastra.

 

Pada masa sama, perkembangan kapasiti pusat data kolokasi di Malaysia dijangka terus berkembang. Berdasarkan penyelidikan JLL yang dipetik RHB Research, kapasiti berkenaan di Malaysia dijangka meningkat daripada 0.79 gigawatt (GW) kepada 1.05GW menjelang 2029.

 

Sunway Construction paling berisiko

Dari segi pendedahan kontraktor tempatan, Sunway Construction mempunyai bahagian tempahan berkaitan pusat data paling tinggi dalam kalangan empat syarikat yang dinilai RHB Research, iaitu kira-kira RM9.5 bilion atau 76% daripada keseluruhan buku tempahannya sebanyak RM12.5 bilion.

 

Gamuda pula mempunyai anggaran tempahan pusat data sebanyak RM8.8 bilion, bersamaan 13.8% daripada keseluruhan buku tempahannya berjumlah RM63.9 bilion.

 

Sementara itu, pendedahan Kerjaya Prospek kepada projek pusat data dianggarkan RM800 juta atau 13.6% daripada buku tempahan keseluruhan sebanyak RM5.9 bilion.

 

Bagi Binastra Corporation, anggaran tempahan berkaitan pusat data berjumlah RM1 bilion, mewakili 16.1% daripada keseluruhan buku tempahan sebanyak RM6.2 bilion.

 

RHB Research bagaimanapun melihat Gamuda sebagai antara syarikat yang lebih berdaya tahan sekiranya sekatan berkenaan dilaksanakan kerana buku tempahannya turut disokong prospek projek bukan pusat data, termasuk projek kereta api di dalam dan luar negara, tenaga boleh baharu di Taiwan serta Australia dan projek air di Malaysia.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan Overweight bagi sektor pembinaan dengan Gamuda, Sunway Construction dan Kerjaya Prospek sebagai pilihan utama, masing-masing dengan harga sasaran RM6.20, RM9.56 dan RM4.02.

 

Risiko utama sektor itu, menurut RHB Research, adalah kelembapan ketara dalam pelaksanaan projek pusat data di peringkat global sekiranya ketidaktentuan dasar berkenaan berlarutan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved