liza20/11/2026 - 10:20 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov – Kos arang batu Malayan Cement Berhad dijangka kekal pada paras 10% hingga 20% lebih tinggi berbanding tahap FY2026 sehingga awal 2027 yang akan memberi kesan kepada margin keuntungan kumpulan itu meskipun peningkatan aktiviti pembinaan dijangka merangsang permintaan simen menjelang akhir tahun, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata Malayan Cement telah mendapatkan bekalan arang batu sehingga awal 2027 pada anggaran harga AS$90 setan, iaitu 10% hingga 20% lebih tinggi berbanding tahap FY2026.
“Tekanan kos itu sudah mula kelihatan dalam prestasi segmen simen dan klinker kumpulan berkenaan pada suku pertama berakhir 30 September 2026 (1QFY27), apabila keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) segmen itu merosot 13% berbanding suku sebelumnya dan 3% tahun ke tahun.
“Margin EBIT segmen berkenaan turut menyusut kepada 28% berbanding 33% pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26) dan 30% dalam tempoh sama tahun sebelumnya,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Keuntungan suku pertama meningkat
Bagaimanapun, Malayan Cement mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 13.5% kepada RM227.6 juta pada 1QFY27 berbanding RM200.6 juta setahun sebelumnya.
Keuntungan teras turut meningkat 10.9% kepada RM223.9 juta berbanding RM201.9 juta dalam tempoh sama, manakala hasil kumpulan naik 9.5% kepada RM1.33 bilion daripada RM1.22 bilion.
RHB Research berkata peningkatan keuntungan tahun ke tahun itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh hasil lebih tinggi daripada perniagaan konkrit bancuhan siap, susulan permintaan lebih baik terhadap produk konkrit gred tinggi dan mengikut spesifikasi pelanggan.
Kadar cukai efektif yang lebih rendah pada 25.1% berbanding 31.3% setahun sebelumnya turut membantu prestasi keuntungan kumpulan, dengan Malayan Cement menggunakan aset cukai tertunda.
Kos arang batu dan pengangkutan beri kesan kepada margin
Bagi segmen simen dan klinker yang menyumbang 62% kepada hasil kumpulan, jualan meningkat 2% berbanding suku sebelumnya, disokong jumlah jualan lebih tinggi, manakala harga jualan purata kekal hampir tidak berubah.
Namun, kenaikan kos arang batu menyebabkan keuntungan EBIT segmen itu merosot seperti yang dicatatkan pada suku berkenaan.
Sementara itu, perniagaan konkrit merekodkan peningkatan jualan sebanyak 4% suku ke suku dan 25% tahun ke tahun, tetapi EBIT susut 29% berbanding suku sebelumnya kepada RM46 juta berikutan kos pengangkutan lebih tinggi.
RHB Research berkata Indeks Arang Batu Indonesia (ICI) meningkat 22% dalam tempoh lapan minggu kepada AS$102 setan, yang menunjukkan kos bahan mentah berkenaan mungkin terus memberi tekanan kepada Malayan Cement.
Aktiviti pembinaan dijangka sokong jumlah jualan
Walaupun berdepan kos lebih tinggi, RHB Research kekal positif terhadap usaha kawalan kos kumpulan, termasuk penggunaan teknologi pemulihan haba buangan (waste heat recovery) dan penggantian klinker.
Menurut firma itu, margin keuntungan sebelum cukai Malayan Cement kekal dalam julat 23% hingga 24% pada 1QFY27 berbanding setahun sebelumnya, meskipun harga arang batu meningkat.
RHB Research menjangkakan pengeluaran simen keseluruhan meningkat menjelang akhir tahun apabila aktiviti pembinaan dan pengisian semula stok kembali rancak. Dari segi sejarah, pengeluaran simen lazimnya meningkat 20% hingga 30% suku ke suku pada suku keempat, yang boleh menyumbang kepada peningkatan jumlah jualan Malayan Cement.
Firma penyelidikan itu menaikkan unjuran keuntungan bagi FY2027 hingga FY2029 masing-masing sebanyak 4%, 5% dan 5% susulan andaian kadar cukai lebih rendah.
Namun, harga sasaran saham Malayan Cement diturunkan kepada RM5.85 daripada RM6.45 selepas mengambil kira pertambahan jumlah saham terbitan kepada 1.67 bilion berikutan penukaran 266.7 juta saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus (ICPS) kepada saham biasa.
RHB Research mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap saham Malayan Cement dengan harga sasaran baharu RM5.85, berdasarkan penilaian 11 kali nisbah harga kepada keuntungan (P/E) FY2028. - DagangNews.com





