liza23/11/2026 - 14:40 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov – SkyeChip Berhad menjangkakan peraturan kawalan eksport teknologi baharu yang diperkenalkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) tidak memberi kesan material terhadap hasil atau prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 (FY2027).
Syarikat reka bentuk litar bersepadu itu berkata, penilaian awal menunjukkan peraturan berkenaan tidak menjejaskan kedudukan kewangan kumpulan, berdasarkan maklumat yang tersedia ketika ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SkyeChip menegaskan kumpulan tidak terbabit dalam operasi pusat data, yang merupakan antara fokus utama kawalan baharu AS berkaitan akses pengkomputeran jarak jauh.
“Bagi separuh pertama tahun kewangan 2027 (1HFY2027), hasil produk silikon kumpulan berjumlah RM42.8 juta, bersamaan 41.2% daripada jumlah hasil kumpulan.
“Keseluruhan hasil produk silikon itu diperoleh daripada pelanggan di Amerika Utara dan Asia Timur Laut, tidak termasuk China,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: AS perketatkan syarat lesen eksport cip AI canggih ke Malaysia, pusat data turut dipantau
Masih menilai implikasi peraturan AS
Bagaimanapun, kumpulan masih meneliti kesan pelaksanaan peraturan berkenaan terhadap operasinya termasuk kemungkinan implikasi terhadap aspek kawal selia dan rantaian bekalan.
SkyeChip sedang mendapatkan nasihat daripada penasihat undang-undang yang pakar dalam kawalan eksport AS serta bekerjasama dengan rakan kongsi dan pembungkusan semikonduktor bagi menilai skop pemakaian peraturan itu.
Syarikat turut memaklumkan kumpulan akan terus memantau perkembangan berkaitan peraturan berkenaan dan mengambil langkah sewajarnya, termasuk mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa berkaitan sekiranya diperlukan di bawah peraturan BIS.
AS perkenal kawalan baharu terhadap teknologi pengkomputeran canggih
Untuk rekod, Jabatan Perdagangan AS melalui Biro Industri dan Keselamatan (BIS) mengeluarkan Peraturan Akhir Interim (IFR) pada 16 November 2026, yang memperkenalkan keperluan pelesenan bagi eksport, eksport semula atau pemindahan dalam negara bagi barangan pengkomputeran canggih tertentu serta perisian dan teknologi berkaitan.
Kawalan itu melibatkan lima negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brazil, tertakluk kepada pengecualian serta syarat yang ditetapkan.
Peraturan berkenaan turut memperkenalkan kawalan tambahan terhadap akses pengkomputeran jarak jauh melalui pusat data serta aktiviti pembuatan dan pembungkusan semikonduktor tertentu. - DagangNews.com





