Ancaman siber semakin serius sasar jejaskan bekalan air, tenaga dan kesihatan – NACSA

LocalTechnology
10 Nov 2026 • 9:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ancaman siber semakin serius sasar jejaskan bekalan air, tenaga dan kesihatan – NACSA Image from: Ancaman siber semakin serius sasar jejaskan bekalan air, tenaga dan kesihatan – NACSA amree10/11/2026 - 09:30 Gambar BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Nov — Serangan siber kini bukan lagi sekadar menyasarkan pencurian data, sebaliknya berpotensi melumpuhkan kemudahan asas seperti bekalan air, tenaga, perkhidmatan kesihatan dan rantaian bekalan yang menjadi nadi kehidupan seharian rakyat.

 

Perkembangan ancaman itu turut memberi risiko besar kepada Malaysia apabila penjenayah siber semakin menyasarkan sistem fizikal dan teknologi operasi (OT) yang mengawal infrastruktur kritikal negara, menurut Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

 

Ketua Eksekutifnya, Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, insiden pencerobohan di Eropah baru-baru ini yang melumpuhkan operasi pasar raya serta sistem penyejukan bank darah membuktikan serangan siber kini boleh mengganggu perkhidmatan asas masyarakat.

 

"Ancaman berkenaan malah semakin mencabar susulan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan penjenayah tersebut dapat melancarkan serangan mereka secara automatik dan serentak terhadap pelbagai organisasi," jelas beliau.

 

Keupayaan itu ujarnya, turut meningkatkan skala, kelajuan serta intensiti serangan siber di seluruh dunia, sekali gus meletakkan Malaysia pada risiko untuk terbuka menghadapi modus operandi sama.

 

Megat Zuhairy menambah, sistem OT dalam sektor strategik amat terdedah kepada isu pencerobohan sekiranya disambungkan secara terus kepada Internet tanpa perlindungan keselamatan sewajarnya.

 

NACSA

 

Sehubungan itu, NACSA menggesa semua entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) mengasingkan sistem operasi kritikal daripada rangkaian luar dan memperkemas pelan kesinambungan perkhidmatan bagi memastikan operasi dapat dipulihkan dengan pantas jika berlaku serangan.

 

"Dari sudut perundangan, Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) mewajibkan entiti NCII mematuhi amalan keselamatan yang ketat bagi meningkatkan daya tahan sistem perkhidmatan. Bagi organisasi bukan NCII, NACSA turut menyediakan garis panduan dan pengendalian ancaman keselamatan," katanya.

 

Mengulas keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menaikkan Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara (NCTL) daripada Rendah kepada Sederhana pada 4 November 2026, Megat Zuhairy berkata, langkah itu merupakan tindakan proaktif dan berjaga-jaga, bukannya petunjuk krisis keselamatan siber.

 

Susulan peningkatan tahap ancaman itu, semua ketua sektor dan entiti NCII diarahkan supaya terus memperketat pemantauan serta mengemukakan laporan mingguan kepada NACSA secara berkala, termasuk ketika tiada insiden keselamatan siber berlaku.

 

Beliau turut menegaskan kepentingan perkongsian risikan ancaman secara pantas antara kerajaan dan industri, pembangunan bakat tempatan serta penggunaan teknologi termasuk AI bagi memperkukuh pertahanan siber negara.

 

"Dalam usaha meningkatkan keupayaan jangka panjang, latihan insiden secara berkala perlu diperkasa, manakala penubuhan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi (CSCDC) di bawah NACSA turut menjadi antara inisiatif memperkukuh kepakaran serta teknologi keselamatan siber negara," jelas Megat Zuhairy. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved