amree05/11/2026 - 11:30 Foto kredit RTM Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov – Penjenayah siber yang beroperasi dari luar negara kini boleh dikenakan tindakan undang-undang di Malaysia sekiranya jenayah dilakukan membabitkan sistem negara ini atau mangsanya terdiri daripada rakyat tempatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan Fasal 2 Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap pesalah di luar negara seolah-olah kesalahan itu dibuat di Malaysia.
Beliau menambah, kerajaan turut memanfaatkan mekanisme kerjasama antarabangsa yang sedia ada bagi memastikan penjenayah terbabit boleh disiasat, didakwa dan diekstradisi ke Malaysia sekiranya memenuhi segala syarat ditetapkan.
"RUU itu yang diluluskan Parlimen pada Julai 2026 dirangka bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563), selain menangani kelompangan undang-undang berkaitan jenayah siber rentas sempadan dan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI)," katanya.
Ahmad Zahid menjawab pertanyaan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen, menyentuh Fasal 23 RUU itu memperluas skop kesalahan penyamaran identiti menggunakan sistem komputer bagi menangani ancaman teknologi 'deepfake'.
Beliau berkata, teknologi 'deepfake' membolehkan video, imej dan suara palsu dihasilkan sehingga sukar dibezakan daripada kandungan tulen, sekali gus membuka ruang luas kepada kegiatan penipuan serta manipulasi orang ramai.

Bagi mempercepatkan tindakan terhadap sindiket jenayah siber, Fasal 38 hingga 41 RUU itu turut memperuntukkan kuasa penyiasatan meliputi pemeliharaan dan pendedahan data, pengumpulan data trafik serta pemintasan komunikasi tertakluk perlindungan undang-undang ditetapkan.
"Kuasa berkenaan adalah penting memandangkan bukti digital boleh dipadam, diubah atau dipindahkan dalam tempoh singkat, sekali gus memerlukan tindakan penyiasatan yang segera oleh pihak berkuasa sendiri," tegas Ahmad Zahid.
Dari aspek perlindungan mangsa, Fasal 54 memberi kuasa kepada mahkamah mengeluarkan perintah bagi mencegah atau menghentikan pelanggaran undang-undang atas permohonan Pendakwa Raya atau pegawai yang diberi kuasa, tanpa mengira sama ada suspek sudah didakwa atau sebaliknya.
Perintah berkenaan ujar beliau, merangkumi perintah pemberhentian, pembayaran pampasan kepada mangsa, pematuhan undang-undang serta sekatan aset bagi mengelakkan pelupusan harta, termasuk hasil yang diperoleh daripada kegiatan penipuan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penguatkuasaan undang-undang baharu itu akan memperkukuh keupayaan agensi penguat kuasa melalui penyiasatan lebih responsif serta bidang kuasa luar wilayah bagi membendung jenayah siber, termasuk penipuan dalam talian yang menggunakan teknologi AI. - DagangNews.com





