amree05/11/2026 - 14:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov — Malaysia meningkatkan tahap ancaman keselamatan siber negara daripada rendah kepada sederhana sebagai langkah berjaga-jaga susulan perkembangan keselamatan semasa yang berpotensi menjejaskan perkhidmatan penting negara.
Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan supaya perkhidmatan kritikal negara terus beroperasi dengan lancar ketika berdepan ketegangan geopolitik serta ancaman keselamatan serantau dan antarabangsa.
Menurut kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN), agensi berkenaan sudah mengadakan mesyuarat bersama-sama kesemua ketua sektor dan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) bagi memperkukuh penyelarasan kesiapsiagaan keselamatan siber.
"Mesyuarat tersebut menetapkan sembilan langkah kesiapsiagaan yang perlu dilaksanakan semua entiti NCII, termasuk pemantauan sistem selama 24 jam, pemasangan tampalan keselamatan serta pengaktifan pengesahan berbilang faktor," katanya.
Entiti berkenaan ujar MKN, turut diwajibkan agar terus mengemas kini segala pelan kesinambungan perkhidmatan (BCP) bagi memastikan semua operasi semasa mereka dapat diteruskan sekiranya berlaku gangguan atau serangan siber secara tiba-tiba.
Selain itu jelasnya lagi, ketua sektor NCII perlu mengemukakan laporan status ancaman secara mingguan kepada Nacsa bagi membolehkan mana-mana perkembangan risiko keselamatan siber yang dialami dapat dipantau dengan berterusan.

Tambahnya, pangkah kesiapsiagaan itu turut dibentangkan dalam mesyuarat khas bersama-sama dengan ketua-ketua setiausaha kementerian dan ketua perkhidmatan yang berlangsung di Putrajaya pada Rabu.
"Nacsa menerusi Pusat Penyelarasan dan Kawalan Siber Kebangsaan (NC4) terus melaksanakan tiga fungsi operasi utama, iaitu mengeluarkan amaran dan nasihat keselamatan siber, memperkukuh keupayaan pengesanan serta penilaian ancaman dan memantau keselamatan siber entiti NCII serta agensi kerajaan," katanya.
Sepanjang Oktober 2026 kata MKN, NC4 mengeluarkan sebanyak lapan amaran dan nasihat berkaitan kelemahan keselamatan yang melibatkan entiti NCII serta agensi kerajaan bagi membolehkan tindakan pencegahan dan mitigasi diambil lebih awal.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 November 2026 memaklumkan Malaysia antara negara berpotensi menjadi sasaran serangan siber susulan kekuatan infrastruktur digital negara serta pendirian tegas kerajaan dalam beberapa isu antarabangsa, khususnya Palestin.
Penilaian itu berdasarkan maklumat risikan kerajaan, namun Anwar berkata tidak semua butiran mengenai ancaman berkenaan boleh didedahkan kepada umum, manakala MKN menegaskan kesiapsiagaan keselamatan negara akan terus diperkukuh secara menyeluruh dan berterusan. - DagangNews.com






