Anda Boleh Didenda, Dipenjara Jika Miliki Kandungan Berbentuk Lucah!

20 Jun 2024 • 4:25 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Isu menonton dan menyimpan kandungan atau video serta gambar lucah merupakan satu hal yang sering kita dengar.

Namun, apa yang jarang berlaku adalah penangkapan individu yang disaspek memiliki atau menyimpan kandungan sedemikian.

Kandungan lucah

Terbaharu, seorang wanita bernama Siti Amiza Baharuddin atau dikenali sebagai Miza Ozawa dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM12,500 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki bahan lucah.

Selain itu, wanita berusia 27 tahun itu turut didakwa kerana menyimpan ubat terlarang tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan memiliki bahan lucah, Miza Ozawa didakwa memiliki bahan itu yang terkandung dalam komputer riba dan tiga telefon bimbit miliknya yang didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, bagi pertuduhan memiliki 'ubat kuat' tanpa kelulusan KKM, wanita itu didakwa memiliki ubat tidak berdaftar dengan KKM iaitu dua kotak Secret Negro dan dua kotak Dara jelita yang didakwa melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Sebelum ini, seorang individu, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli atau Hot Daddy dan dua rakan wanitanya, Norhidayah serta pengurus syarikat swasta, Norshazrina Md Zamri, 27, didakwa masing-masing atas satu pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan aplikasi X di Pejabat D7 (Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap) Bukit Aman di sini, pada jam 10.10 pagi, 16 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372 (1) (e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama bawah Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Kemudian, mereka didakwa lagi di Mahkamah Majistret atas satu pertuduhan menjual video lucah. Namun, mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Nurul Izzah Shaharuddin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menjual rakaman video lucah bagi maksud menunjukkan secara awam, di Pejabat Siasatan Jenayah D7 (Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap) Bukit Aman di sini, antara jam 11.47 dan 11.54 malam, 15 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber: BH Online dan Astro Awani