Microsoft Bing merupakan salah satu daripada enjin carian yang popular di pasaran sekarang, dan sama seperti Google, tampil dengan jawapan carian yang menggunakan teknologi AI untuk merumuskan carian anda.
Pihak Microsoft Bing sedar bahawa pengguna enjin carian tidak selalunya mahu menggunakan AI untuk mempercepatkan carian mereka, kerana acap kalinya, enjin carian digunakan untuk bukan sahaja menelaah sesuatu topik, tetapi untuk membuat perbandingan maklumat dan juga mencari perbezaan pandangan yang buat masa ini masih tidak boleh dilakukan oleh AI.

Oleh kerana itu, pasukan Bing telah memperkenalkan dua cara bagaimana pengguna boleh menutup pilihan jawapan AI pada enjin carian tersebut. Pertama ialah dengan penggunakan perisian pemalam Microsoft Bing AI Search Choice extension yang boleh dimuat-turun untuk pelayar web Microsoft Edge dan juga Google Chrome.
Dengan pemalam ini, pengguna boleh menatal pasang atau tutup untuk menutup fungsi carian AI dengan cepat dan mudah.

Cara yang kedua pula ialah untuk menambah teks –ai pada penghujung carian anda. Ini akan memberitahu enjin carian bahawa anda tidak mahu keputusan carian untuk menggunakan jawapan AI dalam carian anda.
Kedua-dua cara untuk memadamkan carian menggunakan AI ini ada kelebihannya tersendiri. Microsoft dilihat telah memberi pengguna pilihan bagaimana mereka boleh melakukannya, dan telah melakukannya dengan cara yang rasmi dan selamat.
Sumber: Microsoft Bing



