AI tingkat kecekapan penggunaan tenaga

LocalTechnology
12 Nov 2026 • 1:49 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: AI tingkat kecekapan penggunaan tenaga

PETALING JAYA – Teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja meningkatkan permintaan tenaga melalui operasi pusat data, malah berpotensi membantu mengoptimumkan penggunaan elektrik, mengurangkan kos operasi dan mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih.

Ketua Pegawai Teknologi AIQ, Saravan Penubarthi berkata, meskipun AI menggunakan tenaga yang tinggi, penggunaan teknologi dan sistem yang tepat mampu mengurangkan keperluan pemprosesan data, sekali gus meningkatkan kecekapan tenaga.

Menurutnya, terdapat tiga pendekatan utama bagi mencapai matlamat tersebut, iaitu penggunaan teknologi AI yang bersesuaian di pusat data, pelaksanaan sistem AI yang lebih cekap dalam perusahaan, serta peralihan kepada sumber tenaga bersih.

“Perbezaan dari segi kos dan penggunaan tenaga bukan hanya bergantung kepada model AI yang digunakan, tetapi juga bagaimana sesuatu penyelesaian itu direka bentuk dan dilaksanakan bagi menghasilkan keputusan yang tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas potensi AI dalam membantu Malaysia dan ASEAN pada Persidangan Abu Dhabi International Petroleum Exhibition and Conference (ADIPEC 2026) di Abu Dhabi, UAE baru-baru ini.

Adipec merupakan persidangan dan pameran tenaga terbesar di dunia yang diadakan setiap tahun di Abu Dhabi.

Mengulas lanjut, Saravan menjelaskan, AI turut berperanan meningkatkan kecekapan pengurusan grid elektrik, penyelenggaraan ramalan serta mengoptimumkan pengeluaran tenaga, meningkatkan kecekapan serta memenuhi peningkatan permintaan elektrik daripada pusat data dan sektor industri.

Tambah beliau, teknologi berkenaan dapat membantu menangani cabaran integrasi tenaga boleh baharu ke dalam sistem bekalan elektrik, khususnya dari segi mengimbangi bekalan dan permintaan tenaga.

Pada masa sama, beliau berpandangan bahawa penyelarasan dasar kerajaan berkaitan tadbir urus AI serta pembangunan infrastruktur tenaga amat penting bagi memastikan pertumbuhan teknologi berjalan seiring dengan keperluan bekalan tenaga.

“Syarikat optimis terhadap keupayaan AI yang akan dapat memainkan peranan lebih besar dalam mengoptimumkan penggunaan tenaga bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

“Ketika AI sememangnya menggunakan tenaga yang besar, saya percaya teknologi ini juga akan menjadi sebahagian daripada penyelesaian untuk mengoptimumkan keperluan tenaga pada masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

The post AI tingkat kecekapan penggunaan tenaga appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved