43% pengguna AI di Malaysia kini utamakan AI berbanding enjin carian untuk membuat keputusan - Entermind

LocalTechnology
27 Oct 2026 • 10:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

43% pengguna AI di Malaysia kini utamakan AI berbanding enjin carian untuk membuat keputusan - Entermind Image from: 43% pengguna AI di Malaysia kini utamakan AI berbanding enjin carian untuk membuat keputusan - Entermind sarah27/10/2026 - 10:55 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Okt - Penggunaan kecerdasan buatan (AI) semakin mengubah cara rakyat Malaysia mencari maklumat dan membuat keputusan penting apabila 43% pengguna AI kini memilih untuk merujuk kepada pembantu AI terlebih dahulu, mengatasi enjin carian tradisional seperti Google yang mencatatkan 31%.

 

Perubahan itu menunjukkan peranan AI yang semakin penting dalam mempengaruhi keputusan pengguna, termasuk pembelian barangan dan perkhidmatan, sekali gus memberi cabaran kepada syarikat yang selama ini bergantung kepada enjin carian, laman web dan saluran pemasaran digital untuk menarik pelanggan.

 

Menurut laporan kajian terbaharu firma perunding AI, Entermind bertajuk The Secret Lives of AI-Ready Customers, dapatan itu berdasarkan tinjauan terhadap 1,300 pengguna AI dewasa di Malaysia pada September 2026 bagi memahami bagaimana teknologi berkenaan mempengaruhi proses mencari maklumat, menilai pilihan dan membuat keputusan pembelian.

 

Kajian itu turut mendapati 41% responden pernah membuat keputusan pembelian atau kewangan berdasarkan maklumat atau cadangan AI, manakala pengguna harian teknologi tersebut dua kali lebih cenderung bertindak berdasarkan cadangannya berbanding mereka yang menggunakan AI sekali seminggu atau kurang, masing-masing pada kadar 52% dan 26%.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Entermind, Prashant Kumar berkata, perubahan tingkah laku itu bermakna perbualan penting mengenai sesuatu jenama kini semakin banyak berlaku menerusi pembantu AI, tanpa penglibatan langsung syarikat berkenaan.

 

"Perbualan paling penting mengenai sesuatu jenama kini berlaku dalam ruang yang tidak disertai jenama itu sendiri. Pelanggan bertanya kepada AI bank mana yang boleh dipercayai atau sekolah mana yang patut dipilih, sedangkan syarikat tidak dapat melihat perbualan tersebut.

 

"Bagaimanapun, pelanggan masih membuat keputusan sendiri. Jenama yang berjaya ialah mereka yang mampu menjadikan setiap saluran interaksi, daripada fungsi carian hingga khidmat pelanggan, sama bergunanya dengan AI yang sudah dipercayai pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

ent

 

AI semakin pengaruhi keputusan pembelian pengguna

Dalam pada itu, Entermind menganggarkan kira-kira 10 juta pengguna dewasa yang mahir menggunakan AI di Malaysia mewakili perbelanjaan isi rumah tahunan sebanyak RM190 bilion, sekali gus menjadikan golongan itu pasaran pengguna yang penting kepada perniagaan.

 

Kajian berkenaan turut mendapati 78% responden mahu aplikasi dan laman web syarikat memudahkan proses mendapatkan maklumat serta membuat keputusan seperti pembantu AI, manakala 42% lebih gemar menggunakan kotak carian berbanding 17% yang memilih navigasi melalui menu.

 

Entermind menyifatkan jurang antara jangkaan pengguna terhadap pengalaman AI dengan kemudahan digital yang disediakan syarikat sebagai AI Experience Debt, apabila pelanggan semakin mengharapkan jawapan pantas dan cadangan yang membantu mereka membuat keputusan tanpa perlu melalui proses carian yang rumit.

 

Dari segi sektor, sebanyak 41% responden mendapati AI paling berguna untuk membandingkan pilihan dalam peruncitan, 45% bagi memahami pilihan penjagaan kesihatan dan 36% untuk meneroka pilihan perjalanan.

 

Prashant berkata, banyak lembaga pengarah syarikat masih menganggap AI sebagai alat mengurangkan atau mengoptimumkan kos, sedangkan perubahan tingkah laku pengguna menunjukkan teknologi itu semakin berkait rapat dengan peluang menjana pendapatan.

 

"Pengguna yang mewakili anggaran perbelanjaan tahunan RM190 bilion sudah mengubah cara mereka membuat keputusan. Perniagaan perlu berubah seiring dengan mereka atau sekadar menjadi pemerhati," katanya.- DagangNews.com

 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved