Anda Kini Boleh Panjangkan Video Dengan AI Melalui Adobe Premiere Pro

TechnologyDigital
15 Oct 2024 • 4:17 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pernah atau tidak anda kebuntuan ketika menyunting video kerana klip b-roll yang tidak mencukupi atau tidak cukup panjang? Jika ya, ciri baharu yang sedia diuji dalam Adobe Premiere Pro sekarang mungkin membantu. Selepas diumumkan sejak bulan April lalu, ciri ini sudah boleh diuji melalui Adobe Premiere Pro Beta.

image is not available

Ciri pertama adalah Generative Extend yang boleh digunakan bersama klip video beresolusi 72-p atau 1080p dengan 24FPS. Ia adalah untuk menyempurnakan rakaman b-roll yang tidak kemas atau tidak sempurna. Ciri ini turut boleh memanjangkan audio bunyi latar seperti suasana di dalam bilik, bunyi angin dan lain-lain bunyi ambien tetapi tidak boleh menjana dialog atau muzik.

image is not available

Dua lagi ciri adalah melalui laman web Firefly iaitu Text-to-Video dan Image-to-Video. Ciri ini adalah mirip apa yang banyak perkhidmatan AI generatif di web, di mana hanya dengan prom teks atau imej biasa – pengguna boleh mengubahnya menjadi video kreatif. Keunikan dari Adobe adalah hasil janaan boleh mimik kesan video dalam filem Hollywood atau juga video gerak-henti dengan pelbagai sudut pandangan kamera atau gaya rakaman.

Dengan pengenalan ciri ini, pengguna boleh terus mengujinya sebelum bercadang untuk sambung melanggan pelan Adobe Creative Cloud atau membeli kredit. Sora oleh OpenAI dan Veo oleh Google yang masih belum dibuka kepada semua, jadi ini peluang anda untuk mencuba ciri janaan video AI dari syarikat yang terkemuka.