
Personaliti media sosial Andika Putera atau nama sebenarnya Muhamad Andika Putera menegaskan tidak pernah berlaku curang ketika dalam perkahwinan bersama bekas isterinya, Ananda Natasha.
Andika atau lebih mesra disapa Dika, 27, berkata, dia terkejut apabila dituduh curang dengan pekerja dan isteri orang yang juga coach dalam bidang motivasi.
"Untuk makluman semua, saya dan Natasha pernah bercerai pada tahun 2022 atas faktor tiada persefahaman, dan kemudian rujuk semula demi kebaikan anak kami, Alisha Puteri.
"Namun kami masih lagi tiada persefahaman sehingga kami membuat keputusan untuk bercerai pada Disember tahun lalu. Penceraian ini juga berlaku secara baik dengan bekas isteri.
“Walaupun sudah bercerai, saya masih berusaha melakukan tanggungjawab sebagai seorang ayah sebaik mungkin seperti memberi duit nafkah anak dan duit mutaah setiap bulan tanpa gagal kepada Natasha selain menguruskan rawatan mata Alisha.
"Dan sepanjang berumahtangga dengan Natasha, saya tidak pernah berlaku curang dengan mana-mana pihak seperti yang didakwa.
"Ia satu fitnah yang sangat besar, lebih-lebih lagi dengan coach yang diperkatakan kerana dia sudah berkahwin dan perkara ini sangat mengaibkan untuk dia dan juga saya," katanya.


