Google membuka ujian Android 16 Beta pada peranti Pixel yang disokong hari ini. Ujian untuk Android 16 bermula lebih awal tahun ini selari dengan rancangan Google untuk memberikan sistem operasi yang terkini lebih awal ke tangan pengguna.

Antara ciri baharu yang dibawakan oleh Android 16 Beta ialah Live Activity yang memberikan maklumat masa nyata terus pada skrin yang dikunci. Ini ialah ciri yang mirip pada iOS menerusi Dynamic Island serta Now Bar pada siri Galaxy S25 yang baru dilancarkan semalam.
Terdapat juga sokongan saiz aplikasi yang berubah secara dinamik apabila digunakan pada skrin melebihi 600dp. Ini adalah ciri diperlukan pada tablet dan peranti skrin boleh-lipat di pasaran. Menerusi Android 16, aplikasi akan secara automatik berubah mengikut saiz skrin sebenar dengan pembangun tidak lagi boleh menghalangnya daripada berlaku seperti sekarang.

Kamera juga diberikan kemampuan mengaktifkan mod malam secara automatik dalam Android 16. Ini berbeza dengan mod malam dalam aplikasi kamera yang sudahpun melakukannya secara automatik. Di Android 16, sebarang aplikasi pihak ketiga seperti Instagram misalnya akan mengaktifkan mod malam apabila ciri kamera digunakan dalam aplikasi.
Kepada pemilik Pixel yang ingin menguji Android 16 Beta hari ini, sila daftarkan peranti anda menerusi pautan ini. Saiz muat turun Android 16 Beta ialah 2.86GB.

