Semalam saya menerima panggilan telefon daripada insan yang mengatakan beliau bertugas di Bank Harimau dan menemukan beberapa isu dengan akaun bank. Panggilan telefon yang mencurigakan kerana saya tiada akaun Bank Harimau kerana menggunakan Cina India Melayu Bank. Saya layankan sahaja pembohongan lembut gigi daripada lidah beliau sebelum menamatkan panggilan secara mengejut.

Penipuan atas talian khususnya melibatkan panggilan kononnya daripada wakil bank semakin meningkat dan jika anda pengguna Android, ciri baharu yang diumumkan akan menyelesaikan masalah ini. Ciri baharu diaktifkan pada peranti yang menggunakan Android 11 dan ke atas menamatkan panggilan telefon yang disyaki adalah percubaan menipu.
Menggunakan pangkalan data bank yang disahkan, panggilan telefon akan dibandingkan dengan senarai nombor telefon bank rasmi. Ini dilakukan dengan Android menghubungi aplikasi perbankan dalam telefon untuk mengesahkan panggilan dilakukan.
Bank juga boleh menyenaraikan nombor tertentu hanya untuk panggilan telefon oleh pelanggan dan bukan daripada bank. Ini akan mengelakkan teknik pemalsuan Caller ID digunakan untuk tujuan penipuan perbankan. Ciri ini disokong pada peranti dengan aplikasi bank Revolut, Itaú, dan Nubank sahaja pada waktu ini.

Seterusnya ciri Live Threat Detection mengesan aktiviti mencurigakan daripada aplikasi. Jika ia dikesan, notifikasi akan diberikan kepada pengguna untuk memadam aplikasi tersebut. Ia masih memerlukan input manual daripada pemilik sebelum aplikasi dipadam. Ciri ini akan mula disokong menerusi Android 17.

Akhir sekali satu lagi lapisan keselamatan diperkenalkan apabila peranti dilabel sebagai hilang (Mark as Lost) dalam aplikasi Find Hub. Lazimnya peranti boleh dinyahkunci dengan memasukkan kata laluan atau pin. Pencuri mungkin tahu kata laluan serta pin anda untuk mematikan sistem penjejakan lokasi. Menerusi Android 17, pengguna boleh menetapkan pengesahan biometri (seperti cap jari) dilakukan sebelum peranti boleh dikeluarkan daripada mod hilang.






