Arahan EU Tidak Bermakna Bateri Telefon Boleh Ditanggal Ganti Akan Kembali

TechnologyDigital
24 Apr 2026 • 2:08 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Arahan EU Tidak Bermakna Bateri Telefon Boleh Ditanggal Ganti Akan Kembali

Awal minggu ini tular beberapa akaun media sosial mendakwa bermula 2027, Kesatuan Eropah (EU) akan mewajibkan semua telefon pintar yang dipasarkan di zon ekonomi mereka perlu mempunyai bateri yang boleh digantikan sendiri oleh pemilik. Orang ramai bersorak kerana mengingatkan era bateri telefon yang boleh ditanggalkan apabila habis seperti era Nokia dan Samsung hampir dua dekad yang lalu akan kembali. Tetapi kami perlu menerangkan kepada anda ini adalah tidak benar sama sekali.

Garis panduan asal yang dikeluarkan oleh EU pada tahun 2024 hanya menyatakan semua telefon pintar di pasaran perlu mempunyai bateri yang boleh digantikan sendiri oleh pengguna di rumah. Kata kunci di sini ialah “ganti” atau “replace” dalam Bahasa Inggeris. Peranti harus mempunyai bateri yang boleh digantikan pemilik tanpa perlu pergi ke kedai atau memerlukan alat khas. Ia tidak bermakna panel belakang telefon akan kembali kepada panel plastik yang boleh dicabut seperti Galaxy S2 atau Nokia 3310. Jauh sama sekali.

Image from: Arahan EU Tidak Bermakna Bateri Telefon Boleh Ditanggal Ganti Akan Kembali

Sejak arahan dikeluarkan, pengeluar seperti Apple dan Samsung telah mula menawarkan peranti dengan bateri yang tidak lagi disambung ke dalam telefon menggunakan pelekat yang sukar ditanggalkan. Kedua-dua syarikat ini telahpun lebih awal memenuhi garis panduan EU sebelum ia berkuat kuasa bermula 17 Februari 2027.

Tetapi garis panduan yang sama mengatakan proses gantian oleh pengguna tanpa alat khas ini terpakai pada peranti dengan piawaian kalis air IPX5 dan ke bawah sahaja. Kesemua iPhone, Samsung, Xiaomi, Honor, Vivo, Oppo dan pelbagai peranti kelas mercu lain kini sudah melepasi IP68.

Kerana tahap kali air serta debu yang lebih tinggi ini, pengeluar dibenarkan tidak menjadikan bateri boleh digantikan oleh pemilik tanpa alat khas. Alat khas ialah seperti pistol haba yang akan melembutkan gam, gasket khas dan alat pengupil khas mengelakkan panel kaca peranti pecah ketika ditanggalkan.

Image from: Arahan EU Tidak Bermakna Bateri Telefon Boleh Ditanggal Ganti Akan Kembali

Pelepasan juga diberikan kepada pengeluar yang menjamin bateri masih mempunyai 83% kapasiti asal selepas 500 kitaran pengecasan dan 80% kapasiti asal selepas 1000 kitaran pengecasan. Samsung dan Apple kedua-duanya menggunakan bateri yang menjamin ini dapat dicapai.

Ini menjawab persoalan “kenapa Apple dan Samsung tidak menyokong bateri SiC serta pengecasan 100W ultra pantas”. Bateri Li-Ion yang digunakan sekarang sudah wujud bertahun lamanya dan tahap degredasi bateri sudah boleh diramal. Sistem pengecasan “perlahan” bawah 45W juga tidak menyebabkan kapasiti bateri jatuh dengan pantas dalam kitaran 1000 pengecasan.

Kesemua keputusan yang dilakukan adalah bagi memastikan garis panduan EU akan dapat dipatuhi. Jika anda mempunyai impian bateri boleh tanggal kembali. Lupakan mimpi anda kerana ia tidak akan berlaku. Era itu sudah berakhir seperti era telefon boleh menari ketika berdering, papan kekunci T9 dan skrin 3.5″.