Anggap Rezeki Keluarga, Bapa Dua Anak Menang Hadiah Utama Toyota Alphard RXZ Members 7.0

25 Aug 2025 • 10:36 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu


Cabutan bertuah merupakan antara program yang sering menjadi perhatian ramai. Manakan tidak, kebanyakan hadiah yang ditawarkan lebih-lebih lagi hadiah utama seringkali memikat hati dan menjadi buruan pengunjung.

Malah, syarat penyertaannya juga amat mudah di mana individu hanya perlu menyertai atau membeli barang tertentu mengikut kriteria yang ditetapkan oleh penganjur.

Namun, tidak semua orang bernasib baik memenangi hadiah yang ditawarkan. Ada yang langsung tidak pernah memenangi hadiah saguhati walaupun telah berulang kali menyertai pertandingan tersebut.

Pemandu Lori Menang Hadiah Utama Cabutan Bertuah, Tidak Pernah Impi Pakai Kereta Mewah

Siapa sangka, penyertaan seorang pemandu lori di program RXZ Members 7.0 pada 22 hingga 23 Ogos lalu di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus membawa tuah apabila dia berjaya memenangi hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah Toyota Alphard.

Menurut Zulhapis Seman yang berasal dari Gambang, Kuantan, Pahang, dia tidak pernah mengimpikan untuk memiliki kenderaan mewah kerana tiada kemampuan selain menganggap ia bukanlah satu keperluan.

Lelaki Anggap Menang Hadiah Utama Cabutan Bertuah Sebagai Rezeki Anak

Jelas Zulhapis yang berusia 36 tahun itu, dia menganggap kemenangan hadiah tersebut sebagai rezeki dua anaknya yang berusia lima dan setahun setengah.

“Ini rezeki anak kerana saya akan menjual kenderaan ini dan duit hasil jualan itu boleh saya gunakan untuk keperluan keluarga dan masa depan anak.

“Semua orang mengimpikan untuk memiliki kenderaan mewah, tetapi bukan semua mampu memilikinya. Jadi apabila sudah (menang), saya akan gunakan seketika untuk kegunaan keluarga,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Dah Banyak Kali Sertai Cabutan Bertuah Tetapi Tak Pernah Menang

Kongsinya lagi, dia sudah menyertai program RXZ Members sejak tiga tahun lalu dan menunggang motosikal tersebut yang dibeli dengan harga RM1,700 bersama rakan untuk menyertai program berkenaan.

Malah, dia mengakui kehadirannya ke program RXZ Members 7.0 untuk menyertai cabutan bertuah selain mencari kepuasan berkonvoi bersama rakan.

“Saya sudah banyak kali menyertai cabutan bertuah tetapi tidak pernah memenangi hadiah sama ada kecil atau besar. Sebab itu apabila nombor saya naik, saya rasa seperti tidak percaya,” jelasnya lagi.

Memetik Sinar Harian, Zulhapis menjelaskan dia hanya mengikut syarat penganjur dengan membuat pembelian bagi memenangi hadiah tersebut.

“Untuk menang cabutan bertuah ni saya ikut syarat penyertaan dengan membeli barangan promosi berupa kemeja T penganjur berharga RM189 pada saat akhir dan nombor saya sekali sahaja dipanggil, terus saya naik pentas,” katanya.

Highlight Update : Day 2 – RXZ Members 7.0 2025 ! (Sesi cabutan bertuah) Pemenang-pemenang Cabutan Bertuah RXZ Members…

Posted by RXZ Members – Official on Saturday 23 August 2025

Isteri Turut Berkongsi Kemenangan Suami Di Media Sosial

Pada masa yang sama, isteri Zulhapis turut menzahirkan ucapan tahniah kepada suaminya menerusi hantaran di TikTok @irfaninara369.

Apa yang menjadi perhatian adalah kemenangan tersebut dianggap sebagai hadiah ulang tahun kelahiran anak sulung pasangan itu pada 24 Ogos lalu.

Selain Toyota Alphard, antara hadiah utama yang ditawarkan penganjur dalam cabutan bertuah tersebut adalah motosikal RXZ, palej umrah, pakej pelancongan dan hadiah lumayan yang lain.

@irfaninara369

Tahniah My Husband 😍 Alhamdulillah,pemenang Utama RXZ Members 2025. X sia2 g Tiap2 Tahun.Rezeki X Pernah Salah Alamat #rxz_members_official #rxz

♬ Langkah seiringan Cover – Najmi Mhmmd

Tonton video penuh [DI SINI]

Penganjuran RXZ Members 7.0 Paling Berjaya – Penganjur

Dalam pada itu, Pengarah program RXZ Members 7.0, Mohd Lukhman Hassan menganggap penganjuran kali ini sebagai edisi paling besar dan berjaya dengan kehadiran sebanyak 150,000 pengunjung himpunan motosikal tersebut.

Bukan itu sahaja, Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman menjelaskan penganjuran program tersebut telah berjaya membantu usahawan kecil dengan pulangan sebanyak RM50 juta.

Ia berdasarkan anggaran perbelanjaan minimum peserta sepanjang program tersebut berlangsung.

“Kalau jumlah peserta 100,000 orang dan setiap seorang berbelanja minimum RM100, kita boleh jana sekitar RM10 juta.

“Tetapi jika perbelanjaan mereka mencecah RM500 seorang, pulangan ekonomi boleh mencecah kira-kira RM50 juta.

“Ini belum termasuk kesan lanjutan seperti penginapan, rumah inap, hotel, pasar dan pusat membeli-belah yang dipenuhi pengunjung sepanjang program,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan penyaluran peruntukan sebanyak RM100,000 bagi penganjuran himpunan motosikal tersebut.

Malah, beliau yang juga Menteri Kewangan turut menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 sebagai sokongan terhadap aktiviti permotoran berkenaan.

Untuk info, Himpunan RXZ Members 7.0 menjadi perhatian disebabkan jumlah pesertanya yang begitu ramai selain insiden kemalangan melibatkan beberapa peserta.

Setakat semalam (24 Ogos), sebanyak lima kes kematian direkodkan membabitkan para peserta program RXZ Members untuk edisi tahun ini termasuk seorang jururawat, Roslinawati Ramli yang berusia 33 tahun.

Source: