Anggaran pendapatan FY25 Astro dikurangkan 22%, RHB Investment ambil kira kenaikan SST, ekonomi semasa
herman
22/03/2024 - 09:59
KUALA LUMPUR 22 Mac - Semakan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di samping keadaan makroekonomi semasa menyebabkan RHB Investment Bank kekal berhati-hati terhadap prospek pendapatan Astro Malaysia Holdings (Astro) bagi tahun kewangan 2025 (FY25).
RHB Investment berkata, ini meski pun Astro menyasarkan untuk memperkenalkan lebih banyak pakej mampu milik, memandangkan persekitaran inflasi dan terutamanya rentetan perbelenjaan pengguna yang lebih ketat.
Menurutnya, momentum daripada pendapatan langganan asas juga kekal lemah disebabkan keadaan ekonomi yang mencabar.
"Selepas keputusan kewangan dikeluarkan semalam, kami mengurangkan lagi anggaran pendapatan teras FY2025- 2026 Astro sebanyak 22%-33%.
"Ini selepas kami menurunkan andaian purata pendapatan bagi setiap pengguna (ARPU) TV dan peningkatan kos kandungan disebabkan pengukuhan Dolar Amerika Syarikat (AS) dengan FY2025 sebagai tahun sukan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut firma penyelidikan itu, tumpuan Astro kekal pada meningkatkan perniagaan lain iatu jalur lebar, pengiklanan bersasar,perniagaan Sooka (over-the-top OTT) dengan kandungan vernakular yang kukuh sebagai naratif utama dan membezakan dengan pesaing.
Kata RHB Investment, pengurusan menjangkakan ARPU kekal tidak berubah berikutan latar belakang ekonomi yang mencabar.
"Hasil langganan TV keseluruhan terus menurun (-2.7% QoQ, -9.5% YoY), mencerminkan asas langganan TV berkontrak yang lebih rendah (-0.5 QoQ, -2.8% YoY) pada perbelanjaan budi bicara yang lebih ketat.
"Jualan pengiklanan meningkat 11.2% QoQ (-12.8 YoY) atas faktor bermusim, di samping sumbangan merentas TV, radio dan platform digital.
"Perlu diingat bahawa jualan pengiklanan bersasar setahun penuh meningkat tiga kali ganda (masih tidak signifikan berbanding adex keseluruhan) kerana Astro memanfaatkan data dan teknologi pihak pertama untuk tawaran yang lebih disasarkan," jelasnya.
RHB Investment mengekalkan saranan Neutral dengan harga sasaran (TP) baharu 32 sen berbanding 37 sen sebelum ini.- DagangNews.com


