Anggota APM Maut Dipatuk Tedung Selar Ketika Demonstrasi Reptilia

23 Aug 2026 • 12:10 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Anggota APM Maut Dipatuk Tedung Selar Ketika Demonstrasi Reptilia

TEMERLOH - Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) maut selepas dipatuk seekor ular tedung selar ketika menjalankan demonstrasi pengendalian reptilia di sini, semalam.

Sarjan Pertahanan Awam (PA), Muhamad Muazam Shah Kamardin, 39, disahkan meninggal dunia pada jam 1.50 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.

Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Kampung Bukit Kelulut untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kelulut.

Menurut laporan Berita Harian, urusan pengebumian berlangsung pagi tadi.

Allahyarham yang masih bujang difahamkan meninggalkan seorang kakak.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi semalam, Muhamad Muazam Shah dipatuk ular tedung selar pada jari tengah tangan kanan ketika mengendalikan demonstrasi pengendalian ular di Dewan Taman Temerloh Jaya.

Ketika kejadian, APM Daerah Temerloh dijemput menyertai program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat dan mengadakan demonstrasi pengendalian ular secara selamat kepada para peserta.

Che Adam berkata, selepas dipatuk, anggota terbabit keluar dari dewan untuk mencuci tangannya sebelum tiba-tiba rebah di luar bangunan.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HoSHAS untuk rawatan lanjut dan ditempatkan di Zon Merah di bawah pemantauan pasukan perubatan.

Keadaannya terus dipantau oleh doktor sebelum beliau disahkan meninggal dunia pada jam 1.50 pagi tadi. - Getaran, 23 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved