Tiga kali dipatuk ular dan pernah koma, kali ini ajal menjemput Muhamad Muazam 

23 Aug 2026 • 2:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiga kali dipatuk ular dan pernah koma, kali ini ajal menjemput Muhamad Muazam 

TEMERLOH: Sudah tiga kali dipatuk ular dan pernah koma, namun minat mendalam tidak menghalang Muhamad Muazam Shah Kamardin daripada terus melakukan aktiviti berkaitan reptilia berkenaan sebelum maut akibat dipatuk tedung selar peliharaannya sendiri, semalam.

Kakaknya, Siti Aisyah, 43, berkata, Allahyarham Muhamad Muazam Shah pernah dipatuk ular sebanyak tiga kali namun kejadian terbaharu di Dewan Taman Temerloh Jaya, dekat sini membawa maut.

“Dalam kejadian sebelum ini  dia pernah koma akibat diaptuk ular sebelum mengalami serangan jantung. Selepas kejadian itu, dia tidak lagi melakukan kerja berat,” katanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kelulut di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, Allahyarham Muhamad Muazam Shah, 39, yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Temerloh sedang melakukan demonstrasi pengendalian ular sempena Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat di Dewan Taman Temerloh Jaya.

Berdasarkan laporan APM Temerloh, mangsa dipatuk pada kuku jari hantu tangan kanan ketika memulakan demonstrasi sebelum keluar dari dewan untuk mencuci tangan.

Mangsa kemudian pitam di luar dewan sebelum dihantar ke Bahagian Kecemasan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Siti Aisyah, mangsa sempat memberitahu anggota bersamanya bahawa dia terkena patukan ular sebelum memasukkan haiwan berkenaan ke dalam kotak.

“Dia sempat simpan ular itu dalam kotak dan mahu pergi basuh tangan tetapi kemudian dia rebah. Anggota pasukannya terus membawanya ke hospital,” katanya.

Ujarnya, adiknya sangat meminati ular dan memelihara beberapa spesies termasuk tedung selar serta sawa di rumahnya.

“Seminggu sebelum kejadian pun dia banyak menghabiskan masa mengurus dan bermain dengan haiwan itu,” katanya. – UTUSAN

 

 

The post Tiga kali dipatuk ular dan pernah koma, kali ini ajal menjemput Muhamad Muazam  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved