
TEMERLOH – “Ini bukan kali pertama dia dipatuk ular. Sudah tiga kali dia dimasukkan ke hospital akibat kejadian sama, termasuk pernah koma dan mengalami serangan jantung kira-kira tiga tahun lalu.
Demikian kata Siti Aisyah Kamardin, 43, kakak kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Temerloh, Allahyarham Muhamad Muazam Shah Kamardin, 39, yang meninggal dunia awal pagi ini selepas dipatuk ular tedung selar ketika mengendalikan latihan pengendalian haiwan berbisa.
Siti Aisyah berkata, kejadian terbaru itu merupakan pengalaman keempat adiknya berdepan patukan ular, namun kali ini nyawanya tidak dapat diselamatkan.
Katanya, kira-kira tiga tahun lalu, Muhamad Muazam Shah pernah dipatuk ular sehingga koma seketika selain mengalami serangan jantung sebelum mendapatkan rawatan di hospital.
“Selepas kejadian itu dia tidak boleh melakukan kerja berat dan lebih berhati-hati, tetapi minatnya terhadap ular memang tidak pernah hilang.
“Memang dia minat ular dan sudah lama dalam bidang ini. Setahu saya, di rumahnya ada tiga jenis ular termasuk tedung selar dan ular sawa,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kelulut, di sini hari ini.
Siti Aisyah berkata, ular tedung selar yang mematuk adiknya dipercayai adalah reptilia yang dipeliharanya dan biasa dibawa untuk tujuan latihan, persembahan serta pendidikan bersama APM.
Dalam kejadian itu, Muhamad Muazam Shah yang juga anggota APM Temerloh dipatuk ular tedung selar ketika menjalani latihan pengendalian haiwan berbisa sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, di sini untuk menerima rawatan. Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 1.50 pagi, hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Pernah koma, kena serangan jantung akibat patukan ular appeared first on Kosmo Digital.






