Anggota APMM maut, tiga cedera kejar bot PATI

27 Oct 2026 • 4:52 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Anggota APMM maut, tiga cedera kejar bot PATI

KUALA PERLIS – Kejadian yang meragut nyawa seorang anggota Maritim Malaysia (APMM) dan mencederakan tiga lagi anggota berlaku ketika mereka sedang mengejar bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI).

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, bot dinaiki lima anggota dikatakan terlanggar binaan konkrit di perairan Kuala Sungai Padang, dekat sini.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustaffa berkata, kejadian berlaku ketika lima anggotanya menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap sebuah bot disyaki membawa PATI warga Myanmar.

“Bot itu bertindak memecut laju menuju ke arah pantai sebaik menyedari kehadiran anggota APMM yang sedang menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan tersebut.

“Berlaku aksi mengejar dan himpit-menghimpit selama hampir 15 minit sebelum insiden perlanggaran menyebabkan bot APMM tersasar dari laluan dan menghimpit binaan konkrit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis, di sini hari ini.

Katanya, impak perlanggaran itu menyebabkan tiga anggota tercampak ke laut dengan dua daripadanya berjaya diselamatkan dalam keadaan cedera, manakala seorang lagi hilang.

“Dua anggota yang masih berada di atas bot, termasuk seorang yang mengalami kecederaan tetap meneruskan usaha mengejar bot PATI berkenaan. Sebanyak 10 das tembakan turut dilepaskan bagi mempertahankan diri susulan tindakan agresif bot PATI sepanjang operasi tersebut sebelum berjaya ditahan pukul 11.45 malam,” ujarnya.

Ujarnya, operasi mencari dan menyelamat segera dilancarkan sebelum anggota yang hilang ditemukan terapung di laut kira-kira pukul 1.30 pagi tadi dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Seorang anggota iaitu Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan dari Unit Perisikan Ibu Pejabat Maritim Kedah dan Perlis disahkan meninggal dunia selepas ditemukan dengan kecederaan serius dipercayai pada bahagian kepala. Tiga lagi anggota masing-masing mengalami patah pergelangan tangan, kesakitan pada bahagian dada serta rusuk kiri dan kanan, manakala seorang lagi terselamat tanpa sebarang kecederaan,” jelasnya.

Kata beliau, kesemua lima anggota yang terlibat dalam insiden tersebut dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Dalam operasi sama, katanya, sembilan PATI warga Myanmar bersama dua tekong warga Thailand berjaya ditahan, menjadikan keseluruhan 11 individu yang akan dikenakan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa. – KOSMO! ONLINE

The post Anggota APMM maut, tiga cedera kejar bot PATI appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved