
PORT DICKSON – Seorang anggota bomba maut selepas motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan kereta jenis Toyota Vios yang dipercayai membuat pusingan U di Kilometer 2.6, Jalan Pantai, di sini, pagi tadi.
Lebih mengejutkan, pemandu berusia 32 tahun melarikan diri sebelum dipercayai menyembunyikan keretanya di sebuah rumah di Puchong, Selangor, dengan nombor pendaftaran hadapan dan belakang ditanggalkan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Dalam kejadian pada pukul 8.05 pagi itu, Mohd Yusri Razali, 46, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Wad Kecemasan, Hospital Port Dickson.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata, siasatan awal mendapati motosikal Honda ADV160 ditunggang mangsa dan kereta Toyota Vios terbabit bergerak dari arah Telok Kemang menghala ke Port Dickson.
“Setibanya di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai membuat pusingan U untuk berpatah balik ke arah Telok Kemang. Penunggang motosikal yang berada di belakang cuba mengelak, namun melanggar sisi kanan kereta sebelum terjatuh di laluan bertentangan,” katanya, hari ini.
Menurut beliau, risikan pihaknya kemudian membawa kepada penahanan pemandu kereta di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang pada pukul 6.30 petang tadi.
Katanya, polis turut menahan dua lelaki tempatan berusia 31 dan 32 tahun yang merupakan penumpang serta rakan kepada pemandu kerana dipercayai bersubahat menyembunyikan kereta dan menanggalkan nombor pendaftaran bagi mengelak dikesan.
“Pemandu tersebut tidak mempunyai lesen memandu sah, manakala cukai jalan dan insurans kereta tersebut sudah tamat tempoh,” katanya yang memberitahu permohonan reman ke atas tiga suspek itu akan dibuat di mahkamah, esok. – KOSMO! ONLINE
The post Anggota bomba maut, pemandu ditahan sorokkan kereta, tanggal nombor plat appeared first on Kosmo Online.






