
JOHOR BAHRU, 26 OKT: Dua penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 24.9, Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Radin Ramlan Radin Taha berkata dalam kejadian pada 7.20 pagi itu, sebuah kereta yang dinaiki seorang pemandu dan dua penumpang sedang dalam perjalanan menuju ke Lima Kedai.
Beliau berkata kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh dalam keadaan jalan basah dan licin, sebelum memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan dua motosikal dari arah Gelang Patah.
“Akibat pertembungan itu, kedua-dua penunggang motosikal yang juga lelaki tempatan berusia 34 dan 50 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta kaki kanan.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk proses bedah siasat manakala pemandu serta dua penumpang kereta mengalami cedera ringan pada bahagian kepala, muka dan kaki kanan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Radin Ramlan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang awam atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.






