
PATTANI, THAILAND – Seorang anggota kor pertahanan sukarelawan Wilayah Pattani maut ditembak sekumpulan lelaki bersenjata dalam serangan hendap ketika mangsa dalam perjalanan menunaikan solat Jumaat di Kampung 2, Mukim Talok Kraithong di sini semalam.
Dalam insiden kira-kira pukul 1.05 tengah hari itu, mangsa, Rusli Uma, 54, dari Kor Pertahanan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang daripada penyerang yang dikenali sebagai Muhammad Bila Kama, 36, turut terbunuh dalam insiden berbalas tembakan itu.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, rakan kepada Rusli yang menunggang motosikal bersamanya cedera parah dan kini dirawat di Hospital Daerah Mai Kaen.
Katanya, kejadian berlaku ketika kedua-dua anggota pasukan keselamatan itu dalam perjalanan ke sebuah masjid berhampiran untuk menunaikan solat Jumaat sebelum sekumpulan lelaki bersenjata yang bersembunyi di kawasan hutan melepaskan tembakan ke arah mereka.
“Kedua-dua anggota pasukan keselamatan itu sempat membalas tembakan sehingga menyebabkan seorang daripada penyerang terkena tembakan pada kepala.
“Rusli disahkan terbunuh di tempat kejadian, manakala Muhammad Bila meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Daerah Mai Kaen. Rakan Rusli yang cedera parah masih dirawat di hospital sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jurucakap itu memberitahu, siasatan awal mendapati, Muhammad Bila dikenal pasti sebagai anggota kumpulan pemisah peringkat operasi yang menerima latihan di negara jiran dan menetap di Kampung No. 5, Mukim Nambo, Daerah Panare di sini.
Katanya, laporan awal turut menunjukkan kumpulan penyerang merampas sepucuk pistol berkaliber .38 milik Rusli sebelum melarikan diri.
“Pemeriksaan pasukan keselamatan dan pegawai forensik di tempat kejadian menemukan motosikal mangsa serta enam kelongsong peluru berkaliber 9 milimeter.
“Susulan kejadian itu, pasukan keselamatan mengepung kawasan berkenaan dan mendirikan pusat pemeriksaan di sepanjang laluan yang disyaki digunakan penyerang untuk melarikan diri,” ujarnya.
Katanya, pegawai forensik masih memeriksa bahan bukti untuk analisis asid deoksiribonukleik (DNA) selain membandingkan kelongsong peluru dengan pangkalan data kes keselamatan terdahulu bagi mengenal pasti kaitan dan mengesan pelaku. – KOSMO! ONLINE
The post Anggota kor pertahanan maut diserang hendap dalam perjalanan tunai solat Jumaat appeared first on Kosmo Online.






