
JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis berpangkat konstabel cedera parah selepas ditikam seorang lelaki dalam Op Tapis Khas Semalaysia di sebuah kawasan tempat letak kereta berbayar di Jalan Ungku Puan, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, anggota polis berkenaan bersama empat anggota lain dan seorang pegawai sedang membuat pemeriksaan terhadap tiga individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Tiba-tiba seorang daripada mereka cuba melarikan diri dan telah berlaku pergelutan sehingga mangsa ditikam oleh suspek yang kemudiannya melarikan diri.
”Mangsa cedera luka dalaman di bahagian rusuk belakang sebelah kiri akibat ditikam menggunakan sebilah pisau. Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, di sini untuk menerima rawatan dan doktor memaklumkan mangsa dalam keadaan stabil,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Raub berkata pihaknya sedang giat mengesan seorang lelaki tempatan yang berbaju lengan panjang, berseluar jean dan berselipar serta memakai snowcap dan pelitup muka berwarna hitam bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan iaitu 07-2182323 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Noor Azlinda Mohd Khalid menerusi talian 017-2765250,“ katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 186 KK. -Bernama


