Anggota polis dakwa kepala dihantuk empat kali, jalani rawatan psikiatri akibat dikasari Mohd Shuhaily - Peguam

LocalPolitics
21 Oct 2026 • 1:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anggota polis dakwa kepala dihantuk empat kali, jalani rawatan psikiatri akibat dikasari Mohd Shuhaily - Peguam
Kamal Hisham (dua kanan) dan Muhammad Nor (tiga kanan) ketika sidang akhbar selepas selesai prosiding membabitkan Mohd Suhaily di Mahkamah Majistret Sepang pada Rabu.
Image from: Anggota polis dakwa kepala dihantuk empat kali, jalani rawatan psikiatri akibat dikasari Mohd Shuhaily - Peguam
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (depan kanan) bersama peguamnya ketika tiba di Kompleks Mahkamah Sepang hari ini bagi menghadapi dua pertuduhan berhubung dakwaan mengasari dua anggota polis di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto Bernama

SEPANG – Seorang daripada dua anggota polis yang mendakwa dicederakan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dilaporkan mengalami kesan trauma sehingga memerlukan rawatan psikiatri selepas kejadian berkenaan.

Peguam yang mewakili kedua-dua anggota polis itu, Kamal Hisham Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin, berkata, anak guamnya mendakwa kepala salah seorang anggota berkenaan dihantuk sebanyak empat kali dalam insiden yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya, selain menerima rawatan biasa, anggota polis terbabit turut mendapatkan rawatan psikiatri di pusat kesihatan Salak dan Hospital Cyberjaya.

“Kami berharap mahkamah mengambil kira beberapa faktor dan kesan kepada mangsa, yang mana salah seorangnya selepas kejadian dihantuk kepala empat kali.

Anggota polis dakwa kepala dihantuk empat kali, jalani rawatan psikiatri akibat dikasari Mohd Shuhaily - Peguam

Dua anggota polis akan fail saman sivil terhadap Mohd Shuhaily - Peguam

"Selain rawatan biasa, dia juga terpaksa menjalani rawatan psikiatri di pusat kesihatan Salak dan juga di Hospital Cyberjaya,” katanya kepada pemberita selepas prosiding kes berkenaan di Mahkamah Majistret Sepang pada Rabu.

Sehubungan itu, kedua-dua anggota polis berkenaan akan memfailkan saman sivil dalam tempoh tujuh hari bagi menuntut pampasan atas kecederaan yang didakwa dialami.

Kamal Hisham berkata, tuntutan berkenaan akan dibuat mengikut undang-undang sedia ada dengan mengambil kira kecederaan fizikal serta kesan lain yang dialami anak guamnya.

Beliau berkata, pihaknya kini menunggu laporan perubatan daripada pihak kesihatan terlibat sebelum menilai jumlah pampasan yang akan dituntut.

**media[3684893]**

Terdahulu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis pada 28 September lalu.

Mohd Shuhaily selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut di kaunter Terminal 1 KLIA antara jam 1.17 tengah hari hingga 1.30 tengah hari pada tarikh berkenaan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Kamal Hisham memaklumkan bahawa beliau mengendalikan kes berkenaan secara pro bono, tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada kedua-dua anggota polis terbabit.

Katanya, beliau bersetuju membantu selepas kedua-dua anggota berkenaan memaklumkan kesukaran yang dihadapi, termasuk kekangan kewangan.

Beliau turut meminta orang ramai menghentikan spekulasi yang mengaitkan kedua-dua anggota polis itu dengan sindiket atau kegiatan counter setting, sambil menegaskan bahawa dakwaan sedemikian tidak berasas berdasarkan pendirian pihaknya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved