Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Dua anggota polis yang mendakwa dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, bakal memfailkan saman sivil dalam tempoh tujuh hari bagi menuntut pampasan atas kecederaan fizikal dan trauma yang dialami.
Peguam yang mewakili kedua-dua anggota itu, Kamal Hisham Jaffar, berkata tindakan berkenaan akan difailkan selepas pihaknya mendapatkan laporan perubatan daripada Pusat Kesihatan Salak dan Hospital Cyberjaya.

Menurutnya, jumlah pampasan masih belum ditentukan kerana pihaknya perlu meneliti laporan perubatan serta peruntukan undang-undang berkaitan terlebih dahulu.
Beliau turut memaklumkan seorang daripada anggota berkenaan mengalami trauma sehingga memerlukan rawatan psikiatri susulan kejadian itu.
Artikel berkaitan: Shuhaily Bakal Didakwa Esok, Bersedia Hadapi Proses Perundangan
Artikel berkaitan: Video Ketua Pengarah AKPS Di KLIA Tular, Ini Penjelasan Sebenar Tentang Insiden Berkenaan
Dalam pada itu, Kamal Hisham menjelaskan khidmat guaman kepada kedua-dua anggota polis terbabit diberikan secara pro bono, iaitu tanpa sebarang bayaran, selepas mereka berdepan kesukaran mendapatkan bantuan guaman akibat kekangan kewangan dan perbezaan pangkat.
Kami mengambil kes ini atas kesedaran sendiri selepas mereka memaklumkan kesukaran dihadapi, termasuk kekangan kewangan dan perbezaan pangkat yang ketara.
“Saya tegaskan tiada sebarang bayaran dikenakan kepada kedua-dua anggota ini,” katanya.
Beliau juga meminta orang ramai tidak membuat spekulasi yang mengaitkan kedua-dua anggota itu dengan dakwaan sindiket atau kegiatan counter setting, sebaliknya menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk disiasat sekiranya terdapat bukti.
Katanya, fokus kes berkenaan adalah dakwaan perbuatan kekerasan terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas, bukannya dakwaan kewujudan sindiket seperti yang diperkatakan di media sosial.
Sumber: Berita Harian
Sumber: Berita HarianArtikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.





