
SEPANG – Dua anggota polis yang didakwa dicederakan oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain akan menfailkan saman sivil bagi menuntut pampasan dalam tempoh tujuh hari.
Peguam, Kamal Hisham Jaafar yang mewakili kedua-dua anggota polis itu, berkata tindakan berkenaan akan diambil susulan kecederaan fizikal serta kesan mental yang dialami mangsa iaitu Muhammad Ekmal Sofwan Dirman dan Mohamad Faiz Saman.
“Kami berjanji dalam masa tujuh hari akan memfailkan tindakan tersebut di mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di sini hari ini.
Tambah beliau, bagaimanapun tindakan tersebut akan dibuat mengikut peruntukkan undang-undang sedia ada berdasarkan kecederaan serta kesan lain yang dialami kedua-dua mangsa.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas kedua-dua anggota terbabit mendapatkan bantuan daripadanya kerana berdepan kesukaran, termasuk kekangan kewangan dan perbezaan pangkat yang ketara dengan individu yang didakwa.
“Saya sendiri yang mengendalikan kes ini. Saya mengambil secara pro bono, percuma. Tidak ada apa-apa bayaran saya kenakan kepada kedua-dua anggota ini. Bila mereka berdua mendapatkan saya dan mengatakan mereka ada masalah serta kesukaran kerana ketiadaan duit, mereka percaya tidak ada orang yang mahu membantu mereka,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau turut menafikan dakwaan di media sosial kononnya terdapat pihak atau kartel yang membiayai khidmat guaman bagi kes berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Kamal Hisham meminta orang ramai menghentikan spekulasi yang mengaitkan kedua-dua anggota polis itu dengan dakwaan sindiket atau ‘counter setting’.
Terdahulu, Mohd. Shuhaily selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis berkenaan dalam insiden di KLIA pada 28 September lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan OKS diikat jamin RM1,500 bagi setiap pertuduhan yang mana RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan. – KOSMO! ONLINE
The post Insiden KLIA: Dua anggota polis saman sivil terhadap Shuhaily appeared first on Kosmo Online.





