Anggota Polis Ditemui Mati Dalam Tandas R&R Nilai

14 Jun 2024 • 11:48 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Seorang anggota polis berpangkat konstabel ditemui mati dalam sebuah tandas yang terletak di Kawasan Rehat dan Rawat Nilai pada petang semalam (13 Jun).

Menurut Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Abdul Malik Hasim, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 5.45 petang.

“Hasil siasatan awal mendapati si mati berumur 25 tahun yang telah berkahwin dijumpai mati di tiang besi atas penghadang di dalam tandas.

“Si mati merupakan anggota polis yang bertugas di Kuala Lumpur,” katanya.

Kes Diklasifikasikan Mati Mengejut

Tambah Abdul Malik, Bahagian Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan telah membantu siasatan di tempat kejadian dan mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh si mati.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat,” ujarnya.

Mohon Kerjasama Orang Ramai Salur Maklumat & Tidak Buat Sebarang Spekulasi

Abdul Malik turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menyalurkannya kepada pihak polis.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi pihak polis dan dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dijalankan,” jelasnya.

Source: