
LAHAD DATU: Seorang anggota polis didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memiliki 538 mililiter cecair mengandungi Diphenhydramine.
Hakim Suhailla Selag menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Azme Zainudin, 27, selepas dia mengaku melakukan kesalahan berkenaan pada 31 Januari tahun ini.
Mahkamah turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara selama lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut fakta kes, Muhammad Azme didapati memiliki 538 mililiter cecair mengandungi Diphenhydramine di sepanjang Jalan Fajar.
Dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952, dibaca bersama Seksyen 9(3) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2).
Mahkamah diberitahu Muhammad Azme ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu ketika serbuan di kawasan berkenaan kira-kira jam 1.24 tengah hari.
Pemeriksaan terhadap beg dan bakul motosikal miliknya menemukan 23 botol cecair disyaki air ketum dengan anggaran jumlah isipadu 34.5 liter serta enam botol Dynadryl Syrup yang disyaki mengandungi ubat batuk dengan anggaran isipadu 600 mililiter.
Bagaimanapun, analisis makmal oleh Jabatan Kimia Malaysia di Tawau mendapati cecair dalam 23 botol berkenaan tidak mengandungi Mitragynine manakala sampel daripada enam botol Dynadryl Syrup didapati positif mengandungi Diphenhydramine dengan jumlah isipadu yang disahkan sebanyak 538 mililiter.
Ketika mitigasi, Muhammad Azme yang tidak diwakili peguam memaklumkan bahawa dia telah digantung tugas susulan kes berkenaan dan merupakan pencari nafkah tunggal untuk isteri serta anaknya.
Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Muhammad Azme dan penjawat awam lain, sambil menegaskan bahawa kepentingan awam perlu diutamakan berbanding pertimbangan individu.




