Pelajar kolej vokasional miliki vape berisi kanabis didenda RM3,500

26 Oct 2026 • 2:23 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pelajar kolej vokasional miliki vape berisi kanabis didenda RM3,500

MACHANG – Seorang penuntut sebuah kolej vokasional didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki rokok elektronik atau vape yang mengandungi cecair dadah jenis kanabis pada 24 Julai lalu.

Tertuduh, Muhammad Irfan Daniel Azman, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki rokok elektrik dan sebotol plastik berpenutup warna hitam yang mengandungi cecair berwarna kuning cerah disyaki dadah jenis kanabis dengan anggaran isipadu 7 mililiter.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kuala Krai, Kampung Pangkal Chenok di sini kira-kira pukul 12.30 malam pada 24 Julai 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hazim Aqifullah Mohd. Amran manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nor Husniza Akmal Husain.

Terdahulu, Ahmad Hazim Aqifullah mencadangkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam iaitu mengekang permasalahan dadah daripada terus berleluasa terutamanya di Kelantan.

Nor Husniza Akmal dalam rayuannya memohon hukuman minimum dengan mengambil kira tertuduh merupakan seorang pelajar yang masih ditanggung oleh keluarga selain sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut pada masa akan datang.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 dan penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar jumlah tersebut dan tertuduh membayar denda yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

The post Pelajar kolej vokasional miliki vape berisi kanabis didenda RM3,500 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved