
KLANG – Seorang anggota polis trafik maut selepas motosikal ditungganginya bergesel dengan tayar lori dalam kejadian di Jalan Kebun di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam, Koperal Izwan Napiah, 41, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, mangsa merupakan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 22 tahun.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Jalan Kebun menghala ke Rimbayu.
“Semasa bergerak lurus di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai bergesel dengan bahagian tayar sebuah lori yang dipandu seorang lelaki warga tempatan.
“Akibat pergeseran itu, mangsa hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dengan mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.
Jelasnya, bedah siasat telah dijalankan pukul 9 pagi semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan secara melulu atau berbahaya.
“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Daerah ini atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Anggota trafik maut motosikal bergesel tayar lori appeared first on Kosmo Online.






