‘Anggur Malaysia’ pikat kaloi Sungai Kedah

1 Oct 2026 • 9:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Anggur Malaysia’ pikat kaloi  Sungai Kedah

APABILA berbicara mengenai pancingan di Sungai Kedah, Alor Setar, ikan toman sentiasa menjadi pilihan kaki pancing terutamanya mereka yang gemar mengilat spesies daripada keluarga snakehead itu.

Tempahan bot bersama perkhidmatan tekong tempatan sentiasa penuh tatkala musim pemburuan toman tiba, iaitu bermula dari Disember sehingga Mac.

Bagaimanapun, terdapat spesies lain yang kurang mendapat perhatian kaki pancing di sungai itu iaitu ikan kaloi.

Ikan ini banyak mendiami spot tersembunyi dalam sungai utama di sebelah Utara tanah air itu.

Ikan kaloi atau giant gourami (Osphronemus goramy) merupakan ikan air tawar yang boleh ditemui populasinya di perairan Asia Tenggara, terutamanya di kawasan sungai berarus perlahan atau tenang.

Ikan ini lebih tertumpu di kawasan mempunyai tumbuhan akuatik dan struktur seperti kayu termasuk di pinggir sungai yang memiliki pokok tumbuhan berbuah di tebingnya.

Meskipun kawanan ikan ini sudah boleh ditemui dibeberapa spot berpotensi, namun pemilihan umpan yang sesuai dengan diet pemakanan ikan ini sangat penting untuk mendaratkannya.

Salah satu umpan yang popular untuk memburu ikan kaloi di Sungai Kedah adalah buah lakum atau lebih popular dengan gelaran ‘anggur Malaysia’ dalam kalangan pemburu ikan air tawar.

Lakum merupakan sejenis buah hutan yang tumbuh menjalar di kawasan pinggir sungai atau hutan.

Image from: ‘Anggur Malaysia’ pikat kaloi  Sungai Kedah
BUAH lakum atau digelar sebagai ‘anggur Malaysia’ merupakan umpan terbaik untuk memburu ikan kaloi di Sungai Kedah.

Buah ini juga merupakan diet utama kepada beberapa spesies burung tempatan.

Salah seorang pemancing mahir DevilCraft Fishing, Rospaizal Ismail memaklumkan, buah lakum sememangnya menjadi pilihan utama untuk dijadikan umpan sekiranya dia turun memburu ikan kaloi.

“Sekiranya saya ingin memancing kaloi, buah lakum perlu ada bagi meningkatkan potensi mendaratkan ikan ini.

“Kita kena faham, kaloi lebih memilih makan buah atau daun, jadi pilihan yang paling tepat adalah menggunakan umpan lakum untuk spot di Sungai Kedah,” katanya ditemu bual K-Variasi baru-baru ini.

Menurut Rospaizal atau lebih mesra dengan panggilan Faiz Panjang, umpan buah lakum perlu dilontarkan berhampiran atau tepat ke lokasi berpotensi seperti di bawah pokok jawi atau pohon ara di pinggir sungai untuk meningkatkan peluang mendaratkan ikan kaloi.

Menariknya, dia mengambil masa hanya satu minit untuk mengesan spot kaloi di satu-satu kawasan berpotensi.

Untuk memudahkan pergerakannya menerjah lubuk-lubuk berpotensi, dia lebih selesa memburu kaloi dengan menggunakan kayak.

“Bagi saya, lontaran umpan di spot yang tepat sangat penting kerana bunyi jatuhan atau ‘letupan’ buah lakum dipermukaan air memainkan peranan untuk menyeru kaloi datang mengambil umpan.

“Saya tidak mengambil masa terlalu lama, jika lebih daripada seminit tidak mendapat sambaran, saya akan tukar ke kawasan lain.

“Sebab itu, saya lebih memilih untuk memancing dengan menggunakan kayak kerana ada kalanya lubuk agak sempit dan perlu diterjah dalam keadaan senyap,” jelasnya.

Image from: ‘Anggur Malaysia’ pikat kaloi  Sungai Kedah

Dia memaklumkan, kaloi turut menjadikan daun kangkung sebagai salah satu diet pemakanannya.

“Jika melewati kawasan pinggir sungai yang mempunyai pokok kangkung, cuba lihat pucuknya.

“Jika ada kesan getuan, itu menandakan kawasan berkenaan berkemungkinan mempunyai ikan kaloi.

“Sekiranya berjaya mendaratkannya, teruskan mencuba di tempat sama kerana kebiasaannya ikan kaloi akan memburu makanan secara berpasangan,” tambahnya.

Musim buruan

Ada yang berpendapat, pemburuan ikan kaloi di Sungai Kedah adalah sepanjang tahun seperti mana tempat-tempat lain di perairan negara kita.

Hakikatnya, tempoh pemburuan ikan kaloi di Sungai Kedah mengikut musim tanaman padi.

Kebiasaannya, ikan kaloi diburu ketika usia padi dalam lingkungan dua bulan dan ke atas.

Ketika itu, kerja-kerja menanam padi berkurang, sekali gus menjadikan air lebih jernih mengalir masuk ke dalam sungai.

“Musim memancing ikan kaloi di Sungai Kedah tidak sama seperti di tempat lain. Kami di sini ikut jadual tanaman padi sekiranya ingin memburu kaloi.

“Kebiasaannya, ketika usia padi dalam anggaran dua bulan lebih, waktu itu lebih sesuai memancing kaloi kerana kerja petani di sawah berkurang.

“Air sungai yang jernih lebih sesuai untuk memancing ikan kaloi kerana ia lebih aktif menyambar umpan,” ujarnya.

Rekod peribadi kaloi

Faiz Panjang menjelaskan, rekod peribadinya mendaratkan ikan kaloi di Sungai Kedah adalah seberat 4.4 kilogram dengan menggunakan teknik pelampung bersama setup ringan iaitu kekili DevilCraft Cetus Trinity 800HSW dipadankan dengan joran DevilCraft Black Pearl Light Game 5-12LB.

Bagi pemilihan tali, main line berkekuatan 15lb sehingga 20lb paling efektif untuk memastikan lontaran jauh dapat dilakukan dengan baik, meskipun dalam keadaan terbuka atau berangin.

Dengan menggunakan teknik pelampung, jarak umpan buah lakum yang dipasang pada mata kail The Anglar DX Aji bersaiz 12 dengan pelampung adalah sekitar 0.5 meter bagi menduga ikan kaloi.

“Pasang umpan secara sebiji terus dan jaraknya dengan pelampung jangan terlalu panjang. Setengah meter sudah cukup.

“Anda juga boleh menggunakan setup ringan atau ultra light jika ingin merasakan nikmat pertarungan dengan ikan kaloi.

“Untuk tali, jangan terlalu kasar sebab kita perlu pastikan umpan yang dilontarkan sampai ke spot dengan mudah dan tepat,” katanya.

The post ‘Anggur Malaysia’ pikat kaloi Sungai Kedah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved