Mengilat di Temenggor selepas gempa bumi

17 Sep 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Mengilat di Temenggor selepas gempa bumi

Bagi kaki pancing yang gemar mengilat gewang, Empangan Temenggor, Perak sentiasa menjanjikan tangkapan mengujakan walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu.

Walaupun kejadian gempa bumi bermagnitud 3.4 menjadi tular ketika itu, namun trip memancing tetap diteruskan selepas kami semak tiada sebarang bentuk larangan memasuki kawasan empangan dikenakan.

Cabaran terbesar trip kali ini bukanlah kesan selepas gempa bumi, sebaliknya kehadiran angin sangat kuat, cuaca panas dan berjerebu.

Hari pertama trip bermula dengan keadaan angin kuat menyebabkan permukaan air sentiasa berolak dan menyukarkan kami mengesan aktiviti toman.

Di satu lokasi, kami terserempak sepasang toman yang sedang me­­ngawan. Kami membuat keputusan untuk tidak melempar gewang secara rawak.

Sebaliknya, kami mengikuti pergerakan kedua-dua ikan toman tersebut dan menunggu peluang sesuai untuk melempar gewang pencil.

Setelah beberapa ketika, saya dan Iqbal berjaya menggoda pa­sangan toman tersebut. Letupan atas air cukup bingit memecah keheningan pagi itu.

Pesta toman ‘rempit’

Selepas itu, kami meneruskan pencarian ke kawasan sangkar ikan trapia pula selepas mendapat kebenaran pemiliknya.

Apa yang ditemui benar-benar luar biasa. Toman-toman kecil atau yang biasa dipanggil ‘rempit’ atau ‘bujang kecil’ kelihatan sangat banyak dan aktif.

Balingan gewang ke kawasan sekitar sangkar sering bersahut.

Image from: Mengilat di Temenggor selepas gempa bumi
Suasana Empangan Temenggor yang turut terjejas akibat jerebu.

Walaupun saiz ikan tidak besar, namun jumlahnya begitu banyak dan memberi satu petunjuk positif.

Kehadiran populasi toman kecil yang tinggi menunjukkan kawasan tersebut mempunyai rantaian makanan dan ekosistem baik.

Di sebalik pesta toman kecil tersebut, seekor toman saiz empat kilogram (kg) lebih berjaya dinaikkan.

Ini menunjukkan bahawa toman bersaiz kasar masih ada di kawasan tersebut, walaupun agak sukar dikesan.

Gagal

Hari kedua menjadi hari paling dramatik sepanjang trip. Kami meneruskan pencarian ke bebe­rapa teluk, tanjung dan suak yang berpotensi.

Kewujudan ikan toman ‘rempit’ masih sangat tinggi sehingga kami menganggapnya sebagai ‘pengacau’.

Azizul pula hampir berjaya mendaratkan seekor toman ‘black’, yang dianggap bukan mudah untuk ditemui pada masa sekarang.

Namun selepas sambaran dan pertarungan, ia sempat melakukan lilitan pada sebatang kayu hingga membuatkan perambut putus.

Satu peluang yang sangat berharga hilang di hadapan mata. Bagi pemancing, ikan seperti ini, ia bukan sekadar saiz.

Ia soal peluang seperti itu yang agak sukar hadir setiap kali turun ke Temenggor.

Tidak lama kemudian, giliran saya pula diuji. Seekor ‘mama’ toman yang membawa kumpulan anak berjaya dikesan.

Pertarungan berlaku dan peluang untuk menaikkan ikan kelihatan cerah.

Namun, ia terlepas akibat drag kekili terlalu longgar dan ‘mama’ tersebut menghukum atas kealpaan saya.

Image from: Mengilat di Temenggor selepas gempa bumi
Ikan kerandang dilepaskan semula berhampiran struktur supaya ia dapat memulihkan tenaganya tanpa gangguan pemangsa lain.

Selain memburu toman, kami turut cuba menunda (trolling) gewang Rapala Tail Dancer untuk mencari ikan sebarau.

Percubaan kami tidak membuahkan hasil. Walaupun gagal mendapatkan ikan sebarau, namun aktiviti menunda ini menambahkan lagi variasi teknik untuk trip kami.

Kami juga berjaya menemui fenomena sebarau ‘frenzy’, namun kedudukan kumpulan ikan ini terlalu jauh untuk kami membuat balingan gewang.

Pencarian diteruskan ke bebe­rapa teluk dan tanjung. Corak masih sama, toman rempit dan bujang kecil sangat aktif di merata lokasi kami terjah.

Kerandang

Hari terakhir menyaksikan kami mengubah strategi atas saranan tekong. Daripada terus memburu di tempat terbuka, kami memasuki kawasan suak yang lebih sunyi dan mempunyai banyak struktur kayu mati.

Saya menggunakan soft plastic saiz besar yang dipersembahkan secara kalis sangkut dan ia berjaya menggoda seekor ikan kerandang atau turut dikenali sebagai toman bunga yang semakin sukar didapati sekarang.

Namun, apa yang lebih menarik, banyak tanda-tanda kehadiran toman bersaiz besar dilihat di kawasan ini.

Beberapa sambaran berlaku, tetapi semuanya berakhir dengan tali putus akibat struktur kayu mati menjadi kelebihan pada ikan.

Kesan gempa bumi

Sepanjang tiga hari trip berlangsung, angin kuat melanda di seluruh pelosok empangan menyebabkan permukaan air sentiassa berolak hingga menyukarkan pemantauan aktiviti ikan bermain air.

Cuaca yang terlalu panas ditambah keadaan berjerebu pula mungkin menyebabkan aktiviti toman bermain air menjadi lebih singkat daripada kebiasaan.

Apabila ikan toman saiz besar muncul di kawasan terbuka, ia hanya beredar di permukaan air untuk tempoh sangat pendek.

Sebaliknya, apabila kami memasuki kawasan suak dan teluk yang mempunyai banyak struktur, permukaan air lebih lenang dan suasana sunyi menyebabkan banyak aktiviti ikan besar kelihatan.

Namun begitu, jarak masa yang begitu dekat dengan kejadian gempa menjadikan trip ini satu pemerhatian sangat menarik.

Mungkin tiada kaitan langsung antaranya dan mungkin juga berlaku perubahan sementara yang sukar dikesan oleh ma­­nusia.

Pastinya, tiada bukti saintifik yang cukup untuk mengatakan bahawa gempa bumi menyebabkan ikan toman berubah tingkah laku.

The post Mengilat di Temenggor selepas gempa bumi appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved