
KOTA TINGGI – Kebakaran terbuka tanah paya gambut di Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove di sini kini mencecah keluasan 51.4 hektar, sekali gus memaksa jalan berkenaan ditutup sepenuhnya kepada orang awam sejak petang semalam.
Penolong Kanan Penguasa Bomba Baharudin Idris berkata, operasi pemadaman kini dibahagikan kepada dua sektor utama iaitu sektor A yang melibatkan kawasan seluas 35.6 hektar dan Sektor B seluas 15.8 hektar.
Menurutnya, setakat ini pihaknya berjaya memadamkan 9.7 peratus kira-kira 10 hektar kawasan terbakar di sektor A, manakala pemadaman di sektor B sudah mencapai 19.5 peratus.
Katanya, operasi pemadaman berdepan kesukaran berikutan tiupan angin kencang, cuaca panas terik serta sumber air terbuka yang amat terhad di lokasi kejadian.
“Kekangan kita sekarang ialah air. Kita mendapatkan punca air terbuka yang terhad, selain bantuan bekalan air melalui tanker. Pemadaman dilakukan secara direct attack.
“Kita menunggu ketibaan dua buah jengkaut tambahan daripada agensi lain bagi membina benteng pemisah api firebreak. Jengkaut sedia ada agak kecil. Kita perlukan jengkaut jenis amfibia yang lebih besar untuk meredah hutan dan paya di Sektor A,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pangkalan operasi di Jalan By Pass Punggai-Sebana Cove hari ini.
Tambahnya, permohonan bantuan daripada Unit Udara Bomba juga telah dibuat, namun penerbangan ke Johor belum dapat dipastikan berikutan cuaca panas yang melanda seluruh negara. – KOSMO! ONLINE
The post Angin kencang sukarkan pemadaman kebakaran tanah gambut di Pengerang appeared first on Kosmo Digital.





