
PETALING JAYA: Rakyat mahu kerajaan mengawal kenaikan harga barangan keperluan dan kos sara hidup lain bagi memastikan kenaikan gaji minimum yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 benar-benar dirasai mereka.
Rata-rata yang ditemui Utusan Malaysia mahu kenaikan gaji itu bukan sahaja membantu mereka meningkatkan simpanan malah kuasa beli, terutama golongan pekerja berpendapatan rendah.
Pekerja sambilan, Siti Nur Shamira Azuraini, 25, berkata, peningkatan pendapatan perlu disertai usaha mengawal kos sara hidup supaya pekerja bukan sahaja mampu memenuhi keperluan harian, malah berpeluang membina simpanan untuk masa depan.
Katanya, kenaikan gaji minimum dijangka menambah pendapatan pekerja yang menerima kadar berkenaan, namun kesannya terhadap taraf hidup bergantung pada perubahan kos barangan dan perkhidmatan.
“Saya menyambut baik inisiatif kenaikan gaji, khususnya bagi golongan graduan dan bujang yang baru memulakan kerjaya. Saya berharap kenaikan ini benar-benar dapat membantu meringankan beban kos sara hidup.
“Apa gunanya kenaikan gaji sekiranya kos sewa rumah, pengangkutan, makanan dan keperluan harian turut meningkat?
“Bagi golongan bujang, kebanyakan komitmen perlu ditanggung sendiri. Oleh itu, kenaikan gaji seharusnya seiring dengan usaha mengawal kos sara hidup agar graduan dan golongan bujang bukan sekadar mampu bertahan dari bulan ke bulan, tetapi juga berpeluang menyimpan wang dan membina kehidupan yang lebih stabil,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi pekerja kilang, Abang Busrah Abang Hazimi, 40, yang mempunyai tiga orang tanggungan, kenaikan itu diharap dapat memberi sedikit kelegaan dalam mengurus kewangan keluarga, terutama bagi memenuhi keperluan asas.
Katanya, sebahagian besar pendapatan isi rumah diperuntukkan bagi keperluan asas seperti makanan, pengangkutan, tempat tinggal, bil utiliti dan pendidikan anak-anak.
“Sekiranya perbelanjaan tersebut terus meningkat, tambahan gaji mungkin tidak mencukupi untuk memberikan perubahan ketara terhadap kemampuan berbelanja.
“Justeru, usaha meningkatkan pendapatan pekerja perlu disokong langkah berterusan bagi memastikan harga barangan keperluan kekal berpatutan, selain memperkukuh perlindungan terhadap golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Pekerja pasar raya, Arriffen Yaman, 56, pula berkata, keberkesanan kenaikan gaji minimum perlu dinilai berdasarkan perubahan kemampuan pekerja mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang diperlukan, bukan sekadar pertambahan jumlah pendapatan.
Katanya, perbandingan antara pendapatan dengan perbelanjaan selepas pelaksanaan kenaikan itu penting bagi melihat sama ada pekerja benar-benar menikmati peningkatan kuasa beli.
“Bagi saya, perkara paling penting ialah sama ada kenaikan gaji ini benar-benar menjadikan kehidupan lebih mudah. Kalau pendapatan bertambah tetapi perbelanjaan turut meningkat, manfaatnya mungkin tidak begitu dirasai.
“Saya berharap pihak berkaitan dapat meneliti perubahan harga barangan dan kos keperluan harian selepas pelaksanaan kenaikan gaji supaya kesannya terhadap kuasa beli pekerja dapat dinilai,” katanya.

Pekerja kontrak pembinaan Peni Sebeli, 50, berharap kenaikan gaji minimum itu membolehkan pekerja mempunyai lebihan pendapatan selepas menampung komitmen bulanan.
Katanya, wang yang berbaki selepas membayar perbelanjaan tetap penting bagi membantu pekerja menghadapi kecemasan tanpa perlu terlalu bergantung pada simpanan sedia ada.
“Pada saya, kenaikan gaji sepatutnya memberi ruang kepada pekerja untuk merancang kewangan dengan lebih baik. Selain memenuhi keperluan bulanan, kita juga perlu mempunyai simpanan untuk menghadapi perkara di luar jangkaan.
“Jadi, saya berharap kerajaan terus memantau keadaan harga di pasaran supaya kenaikan gaji benar-benar memberi manfaat kepada pekerja dan membantu mereka mengurus kewangan dengan lebih terjamin,” katanya.

Pandangan itu turut dikongsi siswazah yang juga pekerja sambilan, Danish a/l Mahenthran, 23, yang berkata kenaikan gaji minimum perlu disertai pemantauan harga barangan.
Katanya, pemantauan dan tindakan perlu diambil terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan.
“Kenaikan gaji minimum merupakan langkah positif, namun manfaatnya sukar dirasai sekiranya harga barang turut meningkat. Jika gaji naik RM200 tetapi perbelanjaan bulanan bertambah RM300, keadaan itu tetap membebankan rakyat.
“Justeru, kerajaan perlu memastikan harga barangan kekal berpatutan supaya kenaikan gaji bukan sahaja membantu menampung kos sara hidup, malah memberi peluang kepada rakyat untuk membuat simpanan,” katanya.

Bagi tukang masak, Marini, 49, kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 dapat membantu meringankan beban kewangan keluarganya, sekiranya kenaikan harga barangan keperluan ketika ini dikawal.
Katanya, sebelum ini, gaji RM1,700 hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian dan kadangkala tidak mencukupi sehingga hujung bulan berikutan peningkatan harga makanan basah serta barangan keperluan lain.
“Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 ini sangat membantu keluarga saya. Namun, jika gaji meningkat tetapi harga barang turut naik, manfaat kenaikan itu sukar dirasai kerana kuasa beli rakyat masih terjejas.
“Saya berharap kerajaan dapat mengawal harga barangan keperluan supaya rakyat bukan sahaja mampu menampung perbelanjaan harian, malah mempunyai lebihan wang untuk disimpan untuk keperluan pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN
The post Kawal kenaikan harga barang appeared first on Utusan Malaysia.






