
PETALING JAYA: Jaguh angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin terus mengukuhkan statusnya sebagai pencabar utama apabila melakar sejarah muncul juara Sukan Komanwel buat kali ketiga berturut-turut selepas menjuarai kategori 65 kilogram (kg) lelaki di Glasgow 2026, hari ini.
Kejayaan atlet berusia 32 tahun itu menyaksikannya menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi tiga pingat emas berturut-turut di temasya berkenaan selepas turut mengungguli kategori 62kg di Gold Coast 2018 dan mempertahankan gelaran dalam kategori 61kg pada edisi Birmingham 2022.
Lebih membanggakan, Muhamad Aznil turut memadam rekod bekas jaguh negara, Amirul Hamizan Ibrahim yang sebelum ini muncul atlet angkat berat Malaysia paling berjaya dengan dua emas Sukan Komanwel yang diraih di Manchester 2002 dan Delhi 2010.
Aksi di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo turut menyaksikan atlet kelahiran Terengganu itu memecahkan tiga rekod temasya apabila mencatat jumlah angkatan keseluruhan 299kg hasil 133kg dalam acara snatch dan 166kg bagi clean and jerk.
Muhamad Aznil memulakan saingan dengan cukup cemerlang apabila berjaya mengangkat 130kg sebelum memperbaiki catatannya kepada 133kg pada percubaan kedua dalam acara snatch, namun gagal menyempurnakan angkatan 135kg pada cubaan terakhir.
Rentak cemerlang itu diteruskan dalam acara clean and jerk apabila beliau melakukan angkatan 162kg pada percubaan pertama untuk memecahkan rekod temasya sebelum memperbaharuinya menerusi angkatan 166kg pada percubaan kedua, manakala percubaan mengangkat 170kg selepas itu tidak berjaya.
Pingat perak dimenangi atlet India, Raja Muthupandi dengan jumlah angkatan 286kg, manakala wakil Papua New Guinea, Morea Baru membawa pulang gangsa selepas merekodkan 282kg keseluruhan.
Kemenangan Muhamad Aznil turut menghadiahkan emas kedua Malaysia di Glasgow selepas Mohamad Aniq Kasdan terlebih dahulu muncul juara kategori 60kg lelaki, manakala Irene Jane Henry serta jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin masing-masing menyumbang pingat gangsa untuk mengangkat kutipan kontinjen negara kepada dua emas dan dua gangsa. – UTUSAN
The post Angkatan emas Aznil cipta hatrik di Glasgow appeared first on Utusan Malaysia.





