
Kem angkat berat menghadiahkan hari paling gemilang buat kontinjen negara pada hari ketiga Sukan Komanwel Glasgow 2026 apabila menyumbang dua pingat emas, termasuk satu kejayaan bersejarah menerusi Muhamad Aznil Bidin yang melengkapkan hatrik kejuaraan di temasya itu.
Mohamad Aniq Kasdan terlebih dahulu membuka tirai kejayaan Malaysia apabila menghadiahkan pingat emas pertama kontinjen menerusi kategori 60 kilogram (kg) lelaki dengan jumlah angkatan keseluruhan 273kg di Scottish Event Campus Armadillo.
Lebih membanggakan, Aniq turut memecahkan dua rekod temasya menerusi angkatan clean & jerk 152kg serta jumlah keseluruhan 273kg, sekali gus mengesahkan penguasaannya dalam kategori berkenaan.
Beberapa jam kemudian, Muhamad Aznil Bidin menyumbang emas kedua Malaysia apabila mengungguli kategori 65kg lelaki dengan jumlah angkatan keseluruhan 299kg.
Atlet berusia 32 tahun itu bukan sahaja mempertahankan kejuaraannya, malah mencipta sejarah sebagai atlet angkat berat Malaysia pertama memenangi tiga pingat emas berturut-turut di Sukan Komanwel selepas turut muncul juara pada dua edisi terdahulu.
Kejayaan Aznil menjadi lebih manis apabila beliau memperbaharui tiga rekod temasya menerusi angkatan snatch 133kg, clean & jerk 166kg serta jumlah angkatan keseluruhan 299kg.
Dalam saingan tersebut, Mutupandhi Raja dari India meraih pingat perak dengan jumlah angkatan 286kg, manakala gangsa menjadi milik Morea Baru dari Papua New Guinea selepas mencatat 282kg.
Baca juga:
- Sukan Komanwel Glasgow 2026: Angkat berat hadiah dua emas, satu gangsa buat Malaysia
Lamine Yamal, melutut panjatkan doa selepas Sepanyol julang Piala Dunia
Kekalahan Korea Selatan cetus protes, Hong Myung-bo dicemuh, dilarang masuk restoran
Kem angkat berat negara turut menambah kilauan pingat menerusi atlet wanita, Irene Jane Henry, yang menghadiahkan pingat gangsa dalam kategori 48kg wanita selepas melakukan jumlah angkatan keseluruhan 167kg.
Pingat itu lebih bermakna apabila ia hadir pada penampilan sulung atlet kelahiran Sabah tersebut di pentas Sukan Komanwel. Dalam acara berkenaan, pingat emas dimenangi Mirabai Chanu Saikhom dari India dengan jumlah angkatan 190kg, manakala Ruth Asuquo Nyong dari Nigeria membawa pulang perak menerusi angkatan 168kg.
Hasil dua pingat emas dan satu gangsa daripada kem angkat berat pada hari ketiga, Malaysia kini berada di tangga ketujuh carta pingat keseluruhan dengan kutipan dua emas dan dua gangsa.
Australia kekal menerajui carta pingat dengan 17 emas, sembilan perak dan 13 gangsa, diikuti England (4-9-6), manakala tuan rumah Scotland menghuni tangga ketiga dengan empat emas, dua perak dan tanpa gangsa.
The post Sukan Komanwel Glasgow 2026: Angkat berat hadiah dua emas, satu gangsa buat Malaysia appeared first on The Reporter.





