Kebelakangan ini, kami telah melaporkan tentang banyak insiden berkenaan serangan siber yang berlaku bukan sahaja secara global, tetapi juga kepada institusi dan perniagaan tempatan. Malah, Perdana Menteri sendiri telah mengatakan bahawa Malaysia kini salah satu tumpuan serangan siber dari banyak pihak kerana kedudukan negara sebagai rantau pusat data yang penting, dan juga kelantangan negara berkenaan isu kemanusiaan di Gaza dan Palestin.
Terkini, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan mengatakan bahawa Angkatan Tentera Malaysia sedang dalam perbincangan untuk membangunkan pasukan keselamatan siber mereka tersendiri dimana pelan awal mereka adalah untuk membangunkan dan memperkenalkannya menjelang tahun 2030.
Oleh kerana pelbagai insiden-insiden godaman siber yang semakin meningkat kebelakangan ini, ia dijangka bahawa Kementerian Pertahanan akan cuba untuk membangunkan pasukan keselamatan siber tersebut lebih awal lagi.

“Kita melihat peningkatan serangan siber bukan sahaja terhadap pertahanan negara, malah merangkumi sektor lain, khususnya sektor swasta. Di peringkat pertahanan, kita memang sentiasa berdepan serangan seperti ini. Ia bukan perkara baharu kepada kita. Dengan kemajuan teknologi, serangan ini boleh menjadi lebih serius dan agresif”.
Beliau juga mengatakan bahawa keputusan untuk menubuhkan pasukan ini sudahpun dibuat, dan akan melengkapkan kemampuan Angkatan Tentera Malaysia termasuklah cabang-cabangnya seperti Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Setiap cabang ATM ini juga secara teknikalnya sudahpun mempunyai keupayaan siber mereka tersendiri, tetapi dengan satu pasukan khusus untuk memenuhi semua keperluan dan kemampuan keselamatan siber ATM, ia akan memudahkan koordinasi pasukan-pasukan ketenteraan secara keseluruhan.
Buat masa ini, ia masih tidak diketahui lagi bilakah pasukan keselamatan siber ATM ini akan diperkenalkan, tetapi jangkaan kami ialah ia akan dilakukan secepat yang mungkin.
Sumber: The Star, Berita Harian






