Animasi nostalgia diberi nafas baharu dengan nilai Islam

EntertainmentFamily & Parenting
4 Aug 2026 • 4:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Animasi nostalgia diberi nafas baharu dengan nilai Islam

CYBERJAYA: Animasi yang pernah membesar dan mencetuskan nostalgia dalam kalangan ibu bapa kini diberi nafas baharu menerusi siri animasi tempatan, Build-It Blocks, yang menggabungkan elemen pembinaan, pengenalan kerjaya dan nilai Islam.

Siri animasi terbaharu terbitan Durioo itu diinspirasikan daripada kartun popular seperti Bob the Builder, Higglytown Heroes dan Dora the Explorer yang terkenal dengan pendekatan mendidik kanak-kanak menerusi pengembaraan dan penyelesaian masalah.

Keunikan Build-It Blocks ialah setiap episod dibina berasaskan hadis sahih yang disampaikan secara semula jadi melalui jalan cerita, bukannya dalam bentuk ceramah. Pada masa sama, kanak-kanak diperkenalkan kepada pelbagai jenis pekerjaan yang memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian.

Siri berkenaan diperkenalkan kepada umum menerusi Tayangan Eksklusif Build-It Blocks di Durioo Experience Centre di sini hari ini, yang menghimpunkan pempengaruh serta ibu bapa sebelum tayangan rasminya pada 8 Ogos depan.

Animasi itu mengisahkan tiga sahabat iaitu Amir, seorang arkitek, Bena, jurubina dan Camil, jurutera pembinaan. Mereka bekerjasama membantu pelbagai individu menyelesaikan masalah melalui kreativiti, pembinaan dan semangat bekerjasama.

Selain mengetengahkan kerjaya seperti anggota bomba, doktor haiwan dan penyanyi, siri itu turut memberi perhatian kepada pekerjaan yang jarang dipaparkan dalam animasi seperti penghantar bungkusan, pekerja kitar semula dan tukang cuci.

Image from: Animasi nostalgia diberi nafas baharu dengan nilai Islam

Melalui pendekatan tersebut, kanak-kanak dididik supaya menghargai setiap pekerjaan dan memahami bahawa setiap individu mempunyai peranan penting dalam masyarakat.

Build-It Blocks dihasilkan sepenuhnya oleh tenaga kreatif tempatan daripada pasukan yang sama menghasilkan Omar & Hana, siri animasi Islamik yang mencatat lebih 12 bilion tontonan di YouTube.

Pengarahnya, Heidi Arjuna berkata, idea menghasilkan siri itu tercetus daripada pengalaman beliau membesar dengan kartun seperti Bob the Builder, Higglytown Heroes dan Dora the Explorer, selain dibesarkan dalam keluarga yang terlibat dalam bidang pembinaan.

“Kebanyakan kanak-kanak hanya mengenali beberapa kerjaya seperti doktor atau saintis. Sebenarnya masih banyak pekerjaan lain yang penting dan menarik untuk mereka kenali sejak kecil,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mahu memperkenalkan nilai Islam dengan cara yang lebih dekat dengan kehidupan kanak-kanak.

“Kami mahu anak-anak mempelajari adab, semangat bekerjasama dan sikap saling membantu melalui jalan cerita. Nilai Islam disampaikan secara semula jadi supaya mereka dapat belajar sambil menikmati setiap episod,” katanya.

Sesuai untuk kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah, siri animasi 3D itu akan mula ditayangkan secara eksklusif di platform penstriman Durioo+ bermula 8 Ogos ini.

Sempena pelancarannya, Durioo turut memperkenalkan promosi langganan Durioo+ pada harga RM13 sebulan atau RM118 setahun, bersamaan RM9.83 sebulan.

Menurut Durioo, penghasilan Build-It Blocks adalah sebahagian daripada usaha syarikat menyediakan kandungan hiburan yang selamat, mendidik dan sesuai untuk kanak-kanak, selain membantu mereka mengenali nilai Islam serta menghargai masyarakat sejak usia muda.

The post Animasi nostalgia diberi nafas baharu dengan nilai Islam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved