hamden14/09/2026 - 11:46 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Sept - Ann Joo Resources Bhd (AJR) menjelaskan pelupusan 100% kepentingan ekuitinya dalam Ann Joo Steel Bhd (AJSB) kepada Green Esteel Pte Ltd telah selesai pada 11 September 2026.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin, syarikat berkata penyelesaian transaksi itu dibuat selepas menerima jumlah penyelesaian sebanyak RM150 juta daripada Green Esteel, selaras dengan terma dan syarat Perjanjian Jualan dan Pembelian (SPA).
Pelupusan tersebut melibatkan keseluruhan 612,993,535 saham biasa dalam AJSB, yang merupakan anak syarikat milik penuh AJR.
“Bagi pihak Lembaga Pengarah, Maybank Investment Bank Berhad ingin mengumumkan bahawa Pelupusan tersebut telah selesai pada 11 September 2026 susulan penerimaan jumlah penyelesaian sebanyak RM150.0 juta selaras dengan terma dan syarat SPA,” katanya.
AJR berkata jumlah wang simpanan (Retention Sum) akan diselesaikan mengikut kaedah yang dinyatakan dalam perenggan 2(i) Lampiran I Pekeliling.
Syarikat akan mengumumkan jumlah akhir yang diterima daripada Green Esteel selepas menerima jumlah tersebut.
Pelupusan itu sebelum ini diumumkan oleh AJR pada 22 Mei 2026, dengan pengumuman susulan dibuat pada 19 Ogos, 20 Ogos dan 7 September 2026. - DagangNews.com


