Pelupusan Ann Joo Steel kepada Green Esteel dijangka beri keuntungan RM98.4 juta

LocalBusiness & Finance
20 Aug 2026 • 12:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelupusan Ann Joo Steel kepada Green Esteel dijangka beri keuntungan RM98.4 juta Image from: Pelupusan Ann Joo Steel kepada Green Esteel dijangka beri keuntungan RM98.4 juta liza20/08/2026 - 12:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Ann Joo Resources Berhad menjangkakan cadangan pelupusan 100% kepentingannya dalam Ann Joo Steel Berhad (AJSB) kepada Green Esteel Pte Ltd akan menghasilkan keuntungan proforma bersih kira-kira RM98.4 juta.

 

Perkara itu dinyatakan dalam pekeliling kepada pemegang saham bertarikh 20 Ogos 2026 yang diterbitkan menjelang Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham terhadap cadangan pelupusan tersebut. 

 

Cadangan berkenaan membabitkan penjualan 612.99 juta saham AJSB, mewakili 100% kepentingan dalam syarikat itu kepada Green Esteel dengan nilai pertimbangan RM290 juta secara tunai.

 

Selepas selesai, AJSB dan anak syarikatnya, Ann Joo Integrated Steel Sdn Bhd tidak lagi menjadi anak syarikat Ann Joo. 

 

Kurangkan beban kewangan

Menurut Ann Joo, pelupusan itu merupakan sebahagian daripada strategi kumpulan untuk keluar daripada perniagaan keluli huluan yang mencatat kerugian dan memerlukan modal yang besar.

 

Kumpulan itu berkata langkah berkenaan akan membolehkan sumber dan modal ditumpukan kepada perniagaan keluli hiliran serta aktiviti kejuruteraan yang mempunyai prospek pertumbuhan lebih baik, termasuk produk keluli untuk sektor automotif dan kerja berkaitan elektrifikasi serta peralihan tenaga. 

 

Daripada hasil RM290 juta, sebanyak RM230 juta akan digunakan untuk membayar pinjaman bank manakala RM59.5 juta diperuntukkan bagi keperluan modal kerja dan RM500,000 untuk membiayai perbelanjaan berkaitan pelupusan. 

 

Ann Joo menjangkakan pembayaran balik RM230 juta pinjaman itu dapat menjimatkan kos faedah kasar kira-kira RM9.2 juta setahun berdasarkan anggaran kadar faedah purata 4%.

 

Pada masa ini, jumlah pinjaman bank kumpulan berjumlah kira-kira RM1.20 bilion manakala kadar faedah bagi kemudahan yang akan dibayar balik itu lazimnya antara 3.27% hingga 4.61%. 

 

Selain itu, selepas AJSB tidak lagi menjadi anak syarikat Ann Joo, kumpulan itu juga tidak lagi menyatukan pinjaman AJSB berjumlah RM660.3 juta dalam penyata kewangannya. 

 

Jangka kedudukan kewangan bertambah baik

Walaupun AJSB menyumbang hasil yang besar kepada kumpulan, Ann Joo berkata syarikat itu telah mencatat kerugian secara konsisten sejak tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

 

Bagi FY2025, AJSB dan kumpulannya menyumbang kira-kira RM1.38 bilion kepada hasil Ann Joo sebanyak RM2.17 bilion atau sekitar 63.6% daripada jumlah hasil kumpulan sebelum mengambil kira pelarasan antara syarikat. 

 

Bagaimanapun, memandangkan perniagaan tersebut mencatat kerugian, Ann Joo tidak menjangkakan pelupusan itu memberi kesan buruk yang ketara terhadap prestasi kewangan kumpulan pada masa hadapan.

 

Malah, berdasarkan kiraan proforma, keuntungan daripada pelupusan sekitar RM98.4 juta dijangka membantu memperbaiki aset bersih dan pendapatan kumpulan. 

 

Kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti secara proforma bagi FY2025 diunjurkan berkurang kepada RM136.2 juta daripada RM234.6 juta selepas mengambil kira kesan pelupusan tersebut.

 

Ann Joo juga berkata pelupusan itu dijangka memperkukuh kedudukan kewangan kumpulan ketika industri keluli berdepan cabaran termasuk pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan, ketegangan geopolitik serta lebihan bekalan keluli dari China.

 

Pemegang saham undi 4 September

Dalam pada itu, sebahagian aset tanah dan hartanah milik AJSB tidak termasuk dalam urus niaga tersebut dan akan terus dikekalkan oleh Ann Joo buat masa ini. Kumpulan itu boleh mempertimbangkan penjualan aset berkenaan sekiranya menerima tawaran yang menarik pada masa hadapan. 

 

Cadangan pelupusan itu masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Ann Joo dalam EGM yang dijadualkan pada 4 September 2026 pada pukul 10.30 pagi.

 

Tiga pemegang saham utama Ann Joo, iaitu Ann Joo Corporation Sdn Bhd, Lim Seng Chee & Sons Sdn Bhd dan LSQ & Sons Sdn Berhad, turut memberi komitmen untuk menyokong cadangan pelupusan itu dalam EGM akan datang.

 

Lembaga pengarah Ann Joo berpandangan cadangan pelupusan itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan selepas mengambil kira terma perjanjian jual beli, asas penentuan harga, manfaat, risiko serta kesan kewangan transaksi tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved