Antara habuk, batuk dan mandul

EnvironmentHealth & Fitness
5 Sep 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Antara habuk, batuk dan mandul

JEREBU seakan-akan menjadi satu ‘acara’ yang terpaksa dihadapi rakyat Malaysia setiap tahun.

Semasa Monsun Barat Daya dari bulan Jun hingga September, kawasan Khatulistiwa di rantau ini mengalami musim kemarau, mengakibatkan peningkatan bilangan kejadian kebakaran hutan.

Angin selatan dan barat daya memindahkan jerebu merentas sempadan dari kawasan pembakaran yang biasa berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia ke Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Serian, Sarawak misalnya antara yang terjejas teruk akibat jerebu tahun ini, dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kawasan itu mencapai 518 pukul 10 pagi semalam, melepas paras darurat.

Umum mengetahui pendedahan berterusan kepada jerebu boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan terutamanya pada sistem pernafasan, menyebabkan batuk, tekak kering atau gatal, dan lebih serius, sukar bernafas serta sesak dada.

Yang kurang diketahui, pencemaran udara dikatakan boleh menjejaskan kualiti air mani, khususnya terhadap motilitas sperma iaitu keupayaannya untuk berenang ke arah yang betul.

Berdasarkan satu kajian yang menganalisis lebih 30,000 sperma lelaki di China yang diterbitkan dalam jurnal JAMA Networks, saiz zarah pencemaran di udara menjadi faktor yang menyebabkan kualiti air mani kurang berkualiti.

“Penemuan penyelidikan kami mendapati, pecahan saiz zarah yang lebih kecil mungkin lebih kuat daripada pecahan lebih besar dalam mendorong motilitas sperma yang lemah,” tulis pengarang dalam jurnal berkenaan.

Para penyelidik percaya, penemuan berkenaan menyerlahkan satu lagi keperluan untuk mengurangkan pendedahan kepada pencemaran udara dalam kalangan lelaki.

Dalam konteks Malaysia hari ini, secara ringkasnya, jerebu boleh bertindak sebagai agen pencetus, batuk merupakan tindak balas fizikal yang boleh berlaku serta-merta, manakala kemandulan berisiko menjadi kesan jangka masa panjang sekiranya terdedah kepada pencemaran udara dalam jangka masa yang lama.

Menurut Pensyarah Kanan Biokimia, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Faizul Jaafar, golongan yang bekerja dalam industri gig seperti pemandu e-hailing berkemungkinan berisiko lebih tinggi, memandangkan mereka terdedah kepada udara tercemar dalam tempoh panjang saban hari.

“Walaupun kajian khusus terhadap golongan ini masih diperlukan, pendedahan berterusan kepada pencemaran udara luar sebegini secara saintifik dijangka meningkatkan risiko penurunan kualiti sperma.

“Kajian terbaharu oleh Fakulti Perubatan UKM mendapati lebih 30 peratus lelaki muda kini mempunyai kualiti air mani yang rendah.

“Ramai antara mereka kelihatan sihat dan cergas dari luar tanpa sebarang gejala, namun berkemungkinan mandul tanpa disedari.

“Orang ramai disarankan menyemak bacaan IPU, mengurangkan aktiviti di luar rumah ketika jerebu teruk, dan memakai pelitup muka N95 apabila perlu kerana kualiti sperma bukan sekadar penanda kesuburan, malah dilihat sebagai cerminan kesihatan lelaki secara menyeluruh,” katanya.

The post Antara habuk, batuk dan mandul appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved