
SHAH ALAM, 2 SEPT: Penduduk Sarawak dijangka terus berdepan jerebu sekurang-kurangnya seminggu lagi selagi kebakaran di Kalimantan belum dipadamkan dan angin barat daya terus membawa asap ke negeri itu.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Ambun Dindang berkata hujan di negara ini hanya mampu mengurangkan kesan jerebu buat sementara waktu kerana punca utama masih tertumpu di kawasan kebakaran, lapor Astro AWANI.
“Bagi punca kebakaran, kita sedia maklum bahawa negara sedang mengalami Monsun Barat Daya yang dicirikan dengan keadaan cuaca kering, panas dan kurang hujan.
“Keadaan ini dijangka berterusan sepanjang September,” katanya.
Menurutnya, keadaan jerebu ketika ini dipengaruhi dua faktor utama iaitu kebakaran dan arah tiupan angin.
Sebanyak 1,738 titik panas direkodkan di selatan dan barat Pulau Borneo pada 28 Ogos lalu sebelum jumlah itu menurun kepada 261 titik panas di Kalimantan Barat.
Namun, asap daripada kawasan terbabit masih dibawa angin barat daya ke bahagian barat dan selatan Sarawak.
Ambun berkata hujan menyeluruh diperlukan terutama di kawasan kebakaran bagi memadamkan punca sebenar jerebu, bukan sekadar mengurangkan kesannya.
“Sepanjang September, angin masih konsisten bertiup dari arah barat daya, iaitu dari kawasan kebakaran tersebut.
“Apa yang kita harapkan ialah hujan menyeluruh, terutama di barat dan selatan Kalimantan, supaya asap jerebu yang berpunca dari kawasan itu dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata kemungkinan fenomena Super El Niño berlaku pada Oktober juga perlu diberi perhatian apabila El Niño yang bermula sejak Jun dijangka terus menguat antara Oktober hingga Disember.
Dalam pada itu, operasi pembenihan awan yang dijadualkan dari 3 hingga 5 September akan memberi tumpuan kepada Sarawak dan utara Semenanjung.
“Kita cuba untuk meningkatkan paras air tersebut dengan melakukan pembenihan awan melalui kaedah pembenihan basah yang akan dilakukan pada waktu tersebut,” katanya.





