Antara Jemaah Paling Berusia, Muratul Gembira Jadi Tetamu Allah Pada Usia 88 Tahun

23 May 2026 • 11:55 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Antara Jemaah Paling Berusia, Muratul Gembira Jadi Tetamu Allah Pada Usia 88 Tahun

Antara Jemaah Paling Berusia, Muratul Gembira Jadi Tetamu Allah Pada Usia 88 Tahun

Sudah menjadi impian setiap umat Islam untuk mengerjakan ibadah haji di Mekah.

Bagi mereka yang terpilih menjadi tetamu Allah, ia dianggap sebagai salah satu nikmat dan rezeki yang besar.

Walaupun terpaksa menunggu selama bertahun-tahun, perasaan apabila dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci pastinya sukar untuk digambarkan.

Jemaah haji paling tua

Bagi Muratul Jajar, peluang menjadi tetamu Allah pada usia 88 tahun dianggap sebagai rezeki yang cukup besar selepas sekian lama menyimpan hasrat untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Jemaah berasal dari Ayer Hitam, Bukit Naning itu merupakan antara jemaah haji paling berusia bagi musim haji tahun ini.

Ketika ditemui SK, Muratul berkata, dia sangat gembira apabila dimaklumkan terpilih untuk menunaikan haji.

“Alhamdulillah, saya suka. Saya suka dapat pergi,” katanya.

Menurut Muratul, hasratnya untuk menunaikan haji sudah lama disimpan, namun beberapa kekangan sebelum ini menyebabkannya terpaksa menangguhkan impian tersebut.

“Ada tanggungan. Anak-anak masih sekolah, kesian pula," katanya.

Image from: Antara Jemaah Paling Berusia, Muratul Gembira Jadi Tetamu Allah Pada Usia 88 Tahun

Selepas itu, warga emas terbabit telah membuat rayuan sebanyak empat kali. Pada tahun lalu, dia menerima panggilan haji namun peluang itu terlepas.

"Tahun lepas pun sebenarnya ada panggilan, tapi mungkin kami tak buka aplikasi THiJARI, jadi terlepas.

"Lepas itu Tabung Haji telefon lagi, tanya nak pergi atau tidak. Mereka tanya ada pengiring atau tidak.

"Bila sudah ada, mereka suruh buat pemeriksaan kesihatan, bersenam dan macam-macam lagi," kata menantunya...

Dalam pada itu, dia menyimpan wang sedikit demi sedikit, selain dibantu oleh anak-anaknya untuk menampung kos menunaikan haji.

"Anak-anak bagi sikit-sikit, saya simpan. Dulu hasil menoreh pun saya simpan. Masa anak-anak sekolah, hasil menoreh itu juga guna untuk belanja anak," katanya

Lebih menyentuh hati, Muratul berkongsi bahawa dia kehilangan suami 25 tahun lalu ketika anak-anak mereka masih kecil.

Ditemani menantu

Muratul bertuah kerana ditemani oleh menantunya di Tanah Suci itu.

"Saya cakap, saya dapat pergi haji tapi tak ada kawan, tak ada yang nak teman. Bila dia dengar saya nak pergi, dia pun bersiaplah.

"Anak-anak dia semua tinggal di asrama, jadi rumah tak ramai. Suami dia izinkan," katanya.

Bagi menantunya pula, ini merupakan amanah yang diberikan kepadanya, justeru dia tidak menganggap ibu mentuanya sebagai beban.

"Suami saya yang minta saya temankan ibu dia. Jadi saya setuju untuk pergi. Saya anggap ini sebagai panggilan Ilahi.

"Saya rasa sangat bertuah sebab tengok mak sendiri umur 88 tahun dapat pergi haji.

"Kalau ikut giliran saya sendiri, saya rasa lama lagi. Jadi saya pergi sebagai pengiring untuk ibu. Bila dah sampai sini, syukur Alhamdulillah," katanya.

Image from: Antara Jemaah Paling Berusia, Muratul Gembira Jadi Tetamu Allah Pada Usia 88 Tahun

Dia juga berterima kasih kepada Tabung Haji kerana memberi peluang kepada mereka untuk menunaikan haji pada musim ini.

"Terima kasih kepada Tabung Haji kerana melayakkan kami untuk menunaikan ibadah haji. Kami berharap dapat haji yang mabrur. Terima kasih juga kepada petugas, kawan-kawan, saudara-mara dan semua yang mendoakan kami.

"Masa kursus asas dan kursus perdana, saya tengok ramai juga jemaah berusia, tapi saya rasa mak antara yang paling tua.

"Rupa-rupanya mak memang antara jemaah paling senior. Yang berusia 88 tahun pun tak ramai, mungkin sekitar tiga orang saja," ujarnya lagi.

Guna kerusi roda

Sepanjang berada di Arafah nanti, Muratul berkata dia mungkin akan banyak bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

"Naik kerusi roda. Kalau dekat-dekat, saya jalan dulu. Kalau ada naik bukit sikit, saya turun. Kalau jalan lurus, saya naik kerusi roda.

"Kalau dekat, kuat lagi jalan. Kalau pusing-pusing sini saja, boleh lagi," katanya lagi.

Image from: Antara Jemaah Paling Berusia, Muratul Gembira Jadi Tetamu Allah Pada Usia 88 Tahun

Ditanya pula mengenai kemudahan sepanjang berada di sana, Muratul berkata dia berpuas hati dengan makanan dan kemudahan perubatan yang disediakan.

“Okay, sedap. Bahagia di sini. Ada nasi goreng, roti, semua ada,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa pernah mengalami demam sebelum ini, tetapi keadaannya kembali pulih selepas mendapatkan rawatan.

Dia juga mempunyai masalah darah tinggi, namun bersyukur apabila tekanan darahnya kini semakin menurun.

“Sebelum ni rasa demam, lepas itu dapat ubat. Dah okay dah, lega, sihat balik dah.

“Darah tinggi 100 lebih dulu. Tapi sekarang dah turun dah," ujarnya lagi.

Baca juga:

Doa di Arafah

Muratul ingin menggunakan peluang di Arafah nanti untuk memohon kepada Allah SWT agar dia dan kelurganya terus diberkati.

Dia yang mempunyai 12 orang cucu itu turut memanjatkan doa agar diberikan kesihatan yang baik dan dapat berjumpa dengan anak cucunya.

"Kita minta pada Allah. Nak doa untuk diri sendiri, untuk anak-anak, untuk saudara-mara.

"Minta sihat, panjang umur, dapat jumpa anak cucu," katanya.

Image from: Antara Jemaah Paling Berusia, Muratul Gembira Jadi Tetamu Allah Pada Usia 88 Tahun

Dalam masa yang sama, dia turut berdoa agar anak menantunya sentiasa dimurahkan rezeki.